ARC anjur program kebajikan, santuni masyarakat

Ustaz Hanafi Zulkapli menyampaikan sumbangan kepada mereka yang memerlukan.
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Alternative Riding Club (ARC) bersama Lajnah Kebajikan Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor telah menganjurkan satu program kebajikan ARC Selangor (PROKEB 1.0 ARC SEL) pada Ahad.

Pengarah ARC Selangor, Mohd Zaidi Amin Mat Desar berkata program itu adalah bertujuan untuk menyantuni masyarakat di samping menyampaikan sumbangan bagi meringankan beban mereka berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Katanya, program itu berlangsung secara serentak di 22 kawasan seluruh Selangor, yang mana setiap kawasan diketuai oleh ketua ARC kawasan dibantu Pemuda PAS kawasan masing-masing.

- Advertisement -

“Amat membanggakan melihat semangat bantu-membantu di kalangan ahli-ahli ARC Selangor dalam menyampaikan bantuan, mengorbankan masa dan wang ringgit bagi membantu masyarakat di luar sana yang terkesan dengan pandemik Covid-19 ini,” katanya.

Antara sumbangan yang disampaikan berupa barang harian dan kewangan.

Pengarah ARC Selangor, Mohd Zaidi Amin Mat Desar turut menyampaikan sumbangan kepada penerima.

Turut serta dalam program itu, Ketua Pemuda PAS Selangor, Ustaz Hanafi Zulkapli; Naib Ketuanya, Fadzli Abu Bakar dan AJK harian ARC Selangor termasuk Exco-exco pemuda kawasan serta ketua-ketua zon dan ketua-ketua ARC kawasan.

Menurut Zaidi, program itu akan menjadi program bersiri dalam usaha pihaknya untuk mendekati dan menyantuni masyarakat.

Katanya yang mengharapkan ARC Selangor dan semua kelab pemotoran di bawah Jabatan Seni, Budaya dan Sukan (DACS) akan terus menjadi agent kebajikan kepada masyarakat dan rakyat di negeri itu.

“Jutaan terima kasih kepada penyumbang seperti Lajnah Kebajikan Pemuda PAS Selangor, ARC Hulu Langat, Syabab Care, ahli-ahli ARC Selangor dan sumbangan individu dari serata tempat. Tanpa sumbangan kalian mana mungkin program ini berjaya dilaksanakan.

“Insya-Allah, program sebegini akan berterusan dari semasa ke semasa bagi terus membantu dan meringankan bebanan rakyat yang berada dalam kesusahan di luar sana,” katanya. – HARAKAHDAILY 23/2/2021

- Advertisement -