Susun atur senarai penerima vaksin di peringkat akhir

- Advertisement -

PENDANG: Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah akan menerima 25,000 dos vaksin sempena Program Imunisasi Covid-19 yang dijadual bermula 26 Februari ini.

Menurut Exco Kesihatan dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) negeri, Dato’ Dr Mohd Hayati Othman, kesemua dos berkenaan akan dibawa ke tiga hospital yang diwartakan sebagai pusat pengumpulan.

Tiga hospital terbabit iaitu Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar, Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani dan Hospital Sultanah Maliha (HSM), Langkawi.

“Ketiga-tiga hospital ini memiliki keupayaan menyimpan vaksin pada suhu diperlukan iaitu -80 darjah celsius agar bertahan untuk jangka masa panjang.

“Manakala seterusnya akan diedarkan ke pusat kesihatan seluruh Kedah dan termasuk beberapa tempat lain termask Dewan LADA, Langkawi dan Dewan Wawasan di Kubang Pasu,” katanya di sini semalam.

- Advertisement -

Dr Mohd Hayati juga berkata, pihaknya berada pada tahap akhir menjalankan proses susun atur senarai penerima vaksin bagi memastikan keadaan vaksin berada pada tahap terbaik.

“Dalam mesyuarat bersama Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini, saya dimaklumkan tarikh proses suntikan vaksin belum ditetapkan tetapi kemungkinan bermula selepas 26 Februari.

“Cuma dari segi logistik kita perlu susun betul-betul sebab vaksin tidak akan bertahan lama jika dikeluarkan dari tempat penyimpanan. Ia hanya boleh bertahan selama lima hari jika disimpan pada suhu 2 hingga 8 darjah celcius,” katanya yang juga Adun Tokai.

Sebelum ini Menteri Besar Muhammad Sanusi Md Nor memberitahu beliau sedia menjadi antara penerima terawal menerima suntikan vaksin Covid-19.

Suntikan vaksin Covid-19 melibatkan tiga fasa iaitu bermula dengan petugas barisan hadapan bagi fasa pertama.

Mereka terdiri daripada petugas kesihatan, anggota keselamatan termasuk polis, tentera, Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Jabatan Sukarela Malaysia (Rela).

“Kemungkinan anggota Exco, Adun dan wakil rakyat juga antara yang terawal menerima vaksin,” kata Dr Mohd Hayati. – HARAKAHDAILY 22/2/2021

- Advertisement -