Polis Kelantan kekal 19 lokasi sekatan jalan raya

- Advertisement -

KOTA BHARU: Polis Kelantan mengingatkan orang ramai supaya tidak mengambil kesempatan terhadap kelonggaran bilangan pelanggan di kedai makan.

Ketua Polis Kelantan, Dato’ Shafien Mamat berkata, penjarakan fizikal perlu dikekalkan dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) seperti ditetapkan kerajaan.

Katanya, di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), pihaknya masih mengekalkan sebanyak 19 lokasi sekatan jalan raya (SJR).

Namun di sebalik itu kata beliau penguatkuasaan terhadap SOP di kedai makan akan lebih diberi perhatian.

“Ini kerana masih wujud sesetengah pihak yang mengambil kesempatan terhadap kelonggaran yang diberikan.

- Advertisement -

“Kedai makan dibenarkan beroperasi sehingga 12 tengah malam dan kehadiran pelanggan mengikut kapasiti meja iaitu jika meja kecil, kekalkan dengan dua orang dengan penjarakan manakala jika meja besar mungkin boleh muat hingga empat orang.

“Ada sesetengah pihak mengambil kesempatan terhadap kelonggaran diberi sehingga melanggar SOP,” katanya kepada pemberita di majlis penyerahan pelindung muka dan vitamin daripada Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Kelantan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan hari ini. MCPF diwakili pengerusinya, Dato’ Aziz Nawi.

Shafien juga berkata, Kelantan memutuskan membenarkan semua operasi premis, restoran dan kedai makan sehingga jam 12 malam berkuat kuasa sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Bagaimanapun, beliau berharap orang ramai agar tidak bersikap ‘memandai-mandai’ kerana pihak berkuasa sentiasa membuat pemantauan tanpa mengira masa.

Selain pelanggan, beliau turut menasihatkan pemilik premis agar pematuhan terhadap SOP diteruskan bagi melandai lengkukan jangkitan wabak Covid-19.

“Pasukan pemantau kami bersama agensi lain yang diberi kuasa di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) sedang memantau pematuhan SOP dan orang kita ada di mana-mana.

“Nasihat saya kepada pemilik premis dan orang ramai agar patuhi SOP kerana kita kena ingat ia adalah satu pendekatan paling mujarab untuk landaikan lekuk Covid-19,” katanya. – HARAKAHDAILY 22/2/2021

- Advertisement -