Perbalahan, perselisihan faham merosakkan perpaduan

PERPADUAN mahupun kesatuan melambangkan kekuatan dan kekukuhan. Sebagai seorang Islam, baik di dalam ayat-ayat Al-Quran mahupun Hadis Rasulullah SAW, kita diajar mahupun ditekankan betapa pentingnya perpaduan mahupun kesatuan sebagai lambang kekuatan ummah mahupun Islam itu sendiri.

Peristiwa Hijrah Rasulullah SAW dari Mekah ke Madinah semestinya memberikan kesan kepada kita sebagai umat Islam tentang cabaran dan halangan yang dilalui oleh Rasulullah SAW dalam usaha untuk menyebarkan syiar Islam di Semenanjung Arab.

Penubuhan Madinah sebagai ibu kota mahupun negara Islam yang pertama sewajarnya dijadikan teladan seterusnya usaha Rasulullah SAW menyatukan Aus dan Khazraj yang sejak sekian berbalah patut kita jadikan pedoman dalam usaha kita memperkukuhkan perpaduan dan kesatuan ummah.

Advertisement

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sebenarnya orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelengkah) itu dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat”. (Surah Al Hujurat: ayat 10)

Rasulullah SAW wajar kita jadikan contoh tentang bagaimana Islam dijadikan asas dan tonggak kepada kesatuan dan perpaduan dalam usaha mendamaikan Aus dan Khazraj sesuai dengan konsep Islam yang cintakan kedamaian, bukan keganasan seperti yang digembar-gemburkan oleh sesetengah pihak.

Maka sebagai orang Islam, jika kita berselisih faham, berburuk sangka mahupun berasa curiga terhadap satu sama lain, kembalilah kepada Al-Quran dan Hadis Rasulullah SAW kerana di situlah kita akan menemui kedamaian dan petunjuk selain daripada berdoa dan memohon hidayah daripada Allah SWT.

Apabila kita berpegang teguh kepada Islam dan ajarannya, maka kita akan dapati ukhuwah, perpaduan dan jalan penyatuan akan nampak lebih mudah serta jelas.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam) dan janganlah kamu bercerai-berai dan kenanglah nikmatAllah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang Islam yang bersaudara…”. (Surah Ali Imran: ayat 103)

Berdasarkan firman Allah SWT seperti di atas, jelas menunjukkan bahawa sewajarnya Islam dijadikan asas kepada perpaduan dan kesatuan seterusnya tegahan Allah SWT terhadap perpecahan yang mampu melemahkan serta memporak-perandakan ummah serta Islam itu sendiri.

Rasullullah SAW telah memberi amaran kepada kita umat Islam agar tidak berpecah belah sebagaimana yang telah diriwayatkan oleh Imam Ahmad dengan Hadis yang bermaksud: “Janganlah kamu berselisih faham, kerana orang terdahulu telah binasa disebabkan berselisih faham“.

Jika kita tenung sejenak dan mengimbau kembali sejarah ketamadunan Islam terdahulu, kita lihat bagaimana perbalahan, perselisihan faham mahupun peperangan sesama sendiri merosakkan perpaduan dan kesatuan seterusnya meranapkan tamadun Islam itu sendiri.

Seharusnya kita mengambil iktibar darpada peristiwa lampau ketamadunan Islam terdahulu agar tidak kembali berlaku kepada kita semua. Mungkin ada yang akan berkata, peristiwa terdahulu tidak sama dalam pelbagai konteks dengan apa yang berlaku sekarang.

Benar, mungkin tidak sama tetapi ingatlah, Allah SWT menurun Al-Quran sebagai panduan kepada umat Islam bukan hanya untuk kegunaan umat Islam terdahulu semata-mata tetapi untuk kehidupan dunia dan akhirat atau dalam erti kata lain selama-lamanya.

Begitu juga Hadis Rasulullah SAW iaitu sebagai pedoman sepanjang kehidupan. Kembalilah kepada ajaran Islam yang sebenar, insya-Allah yang kusut akan berjaya dileraikan, yang rumit akan berjaya dirungkaikan.

Jadilah hamba Allah SWT yang sejati, dunia kita tidak akan huni selama-lamanya kerana kita akan kembali ke alam baqa. – HARAKAHDAILY 22/2/2021