Peranan ahli politik bantu turun berkat

Dr Kamaruzaman Yusoff
- Advertisement -

SAYA amat tertarik dengan ungkapan yang digunakan oleh Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang semasa beliau dirawat di Institut Jantung Negara (IJN), minggu lalu.

Tajuk yang dipilih, ‘negara Berkat, Rakyat Selamat’. Ungkapan yang menjadi tagline utama lidah rasmi PAS, Harakahdaily (Hd) sangat menarik untuk ditelusuri.

Tajuk tersebut juga sangat relevan dengan suasana dan gelombang yang dihadapi oleh seluruh rakyat yang terkesan akibat pendemik Covid-19 dan renjatan politik yang berlaku.

Dalam keadaan keresahan rakyat memerlukan makan minum dan wang demi kestabilan dan penerusan hidup mereka, ramai yang lupa bahawa berkat adalah satu keperluan yang tidak dapat dicari tetapi ianya adalah limpahan dan kurniaan Ilahi kepada hamba-Nya yang beriman dan budiman.

Saya tekankan dua istilah ini kerana ramai yang mengaku beriman tetapi belum memiliki sifat budiman demi membantu rakan taulan, saudara dan keluarga yang dekat dan jauh.

- Advertisement -

Jika budiman tidak wujud maka sudah tentu tidak datang kesejahteraan untuk semua. Tanpa sejahtera, maka keampunan Ilahi tidak akan dikecapi. Tanpa keampunan dan reda maka berkat tidak akan turun.

Pada masa yang sama, jika pemimpin negara bersedia menunjukkan komitmen untuk berbudiman, maka saya yakin rakyat akan sejahtera dan selamat.

Sudah banyak program yang diatur oleh pemerintah bagi menguruskan hal rakyat supaya tidak terus dilanda kesempitan hidup.

Banyak pula pihak yang tidak bertanggungjawab merampas hak rakyat dengan klaim palsu yang tidak berkesudahan.

Selagi perkara ini berterusan maka keberkatan tidak dapat dirasai dan disedari kehadirannya oleh rakyat.

Begitu juga dengan renjatan politik yang sedang panas dan sentiasa panas. Langkah Yang di-Pertuan Agong mengisytiharkan darurat dilihat dapat melegakan pemikiran rakyat daripada diserabuti mainan politik golongan tertentu yang tidak ketahuan hala tujunya kecuali poket dan perut sahaja nampaknya.

Maka ahli politik juga berperanan bagi membantu turunnya berkat daripada langit dengan pelbagai langkah positif.

Antaranya hentikan perebutan ke tingkat Lima Putrajaya. Jika perebutan ini dapat dikendurkan maka rakyat yang kurang makan dan minum pun tidaklah celaru kerana sedutan FB dan ciapan Twitter yang mengganggu tembolok pemikiran dan tidur malam mereka.

Merebut apa yang belum tahu selepas Pilihan Raya Umum ke-15 juga menjadikan rakyat merasa tidak selamat. Apakah nasib kami jika kelompok A yang menang atau kelompok menang tipis atau pertandingan tiga penjuru?

Jika kemenangan sahaja yang dilihat, tanpa selamat dan berkat, maka Malaysia sekali lagi akan menjadi medan tempur politikus tanpa arah kecuali poket dan perut yang jadi penyudahnya.

Apa yang akan jadi dengan wawasan 2030? Apakah pandangan dunia kepada kita selepas gagal melepasi Sustainable Development Goals?

Semua ini mungkin tidak penting kepada sebahagian politikus. Kepada rakyat, kami mahu berkat hasil keselamatan yang dijanjikan oleh ajaran Islam.

Hasilnya untuk mencapai negara berkat dan rakyat selamat, tangan para politikus perlu dibuka luas untuk semua.

Apa yang terbaik kepada rakyat itulah sepatutnya menjadi keutamaan semua. Jika tangan mereka digenggam dengan kuat dalam poket mereka diletak di bawah perut mereka, maka semua akan merana.

Rakyat terus merana, dan tidak mustahil pemimpin juga akan merana, jika tidak di dunia tunggulah di neraka padahnya.

Jika semua pihak faham bahawa hasrat Tok Guru adalah menjadi pemudahcara kepada kesatuan ummah, perdamaian dan kepentingan bersama, menjalin hasrat murni membina Malaysia yang penuh berkat, maka sudah pasti politikus akan terus bersama rakyat.

Mereka tidak akan cah keting, tidak akan jatuh menjatuh dan sedia bergerak di belakang Tok Guru demi kemakmuran bersama. – HARAKAHDAILY 22/2/2021

- Advertisement -