Peguam Muslimat bantu remaja dianiaya Sugarbook

- Advertisement -

KUALA KEDAH: Remaja yang menjadi mangsa laman Sugarbook mendapat khidmat guaman daripada Muslimat Legal Team (Muslet) Dewan Muslimat PAS Kedah.

Peguam Muslet, Mardiyah Johari berkata, pihaknya mengetengahkan kes remaja terbabit bagi membela penganiayaan yang dialaminya.

Katanya kes itu sudah dilapor kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), di samping siasatan dilakukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Polis juga sudah mendapatkan keterangan daripada mangsa,” kata beliau ketika dihubungi di sini.

- Advertisement -

Mangsa merupakan seorang pelajar di sebuah kolej di Kuala Lumpur, terkejut apabila dimaklumkan rakannya gambar serta maklumat peribadinya terdapat dalam aplikasi Sugarbook.

Isu tersebut dimuat naik di laman sosial bola dan PU Rahman, sebelum dia dihubungi rakan pada 16 Februari lepas.

Ekoran itu remaja terbabit membuat laporan polis di Balai Polis Kota Sarang Semut.

Baru-baru ini, peguam Muslet bersama wakil Ameerah Kedah menemui mangsa di kediamannya dua hari selepas kejadian itu berlaku.

Malah ayah mangsa, Zamri Saidin berharap penganiayaan yang menimpa anaknya dibawa ke muka pengadilan supaya pihak bertanggungjawab menerima hukuman dan aplikasi berkenaan ditutup.

Kes remaja terbabit turut mendapat perhatian Menteri Besar Kedah apabila seorang pegawai khasnya Norhafizah Fadzil menemui remaja dan keluarga terbabit.

Ekoran itu beberapa siri lawatan diadakan termasuk dihadiri isteri Menteri Besar, Jusmalailani Jusoh. Hadir sama wakil Dewan Muslimat PAS Kuala Kedah dan Halwa Pengkalan Kundur. – HARAKAHDAILY 22/2/2021

- Advertisement -