Pakatan sulit dan kepura-puraan

- Advertisement -

DI AWAL surah al-Baqarah Allah S.W.T menggambarkan kepura-puraan orang munafik. Di hadapan orang beriman, mereka mendakwa beriman. Apabila berkumpul sesama mereka, mereka menyatakan keimanan mereka tadi hanya sekadar memperolok-olokkan orang beriman:

- Advertisement -

وَإِذَا لَقُوا الَّذِينَ آمَنُوا قَالُوا آمَنَّا وَإِذَا خَلَوْا إِلَىٰ شَيَاطِينِهِمْ قَالُوا إِنَّا مَعَكُمْ إِنَّمَا نَحْنُ مُسْتَهْزِئُونَ

“Dan apabila mereka bertemu dengan orang-orang yang beriman, mereka berkata: ” Kami telah beriman “, dan manakala mereka kembali kepada syaitan-syaitan mereka, mereka berkata pula:” Sesungguhnya kami tetap bersama kamu, sebenarnya kami hanya memperolok-olok (akan orang-orang yang beriman)”.”

(al Baqarah: 14)

Di dalam Fi Zhilal Quran, Sayyid Qutb mengaitkan perbincangan ayat ini dengan wujudnya ‘pakatan sulit dalam gelap’ sesama munafik. Sesetengah orang menganggap ia merupakan satu kekuatan dan kepintaran, sedangkan hakikatnya menunjukkan kelemahan dirinya. Ini kerana orang yang kuat yang sebenarnya bukanlah mereka yang pintar menipu ataupun pandai membuat pakatan sulit.

Mereka yang pengecut ini hanya mampu berpura pura. Di hadapan orang beriman, mereka katakan mereka beriman. Tetapi ketika mereka berkumpul sesama mereka secara sulit, mereka nyatakan kebersamaan atas dasar kebatilan.

Ibn Abbas R.A menyatakan bahawa ketika mereka berkumpul sesama mereka, mereka menyatakan bahawa pengakuan beriman tadi hanyalah olok olok dan bertujuan mempermainkan orang beriman. 

Apakah akibat yang mereka bakal alami? Al-Quran sebagai pemberi peringatan, mengingatkan kepada para munafik bahawa persendaan mereka itu akan dibalas oleh Kuasa Yang Paling Tinggi, iaitu Allah S.W.T. Bukan sekadar itu, mereka juga akan dibiarkan teraba-raba dalam kesesatan:

اللَّهُ يَسْتَهْزِئُ بِهِمْ وَيَمُدُّهُمْ فِي طُغْيَانِهِمْ يَعْمَهُونَ

“Allah (membalas) memperolok-olok, dan membiarkan mereka meraba-raba dalam kesesatan mereka (yang melampaui batas itu).”

(al-Baqarah: 15)

MUHAMMAD MUJAHID IR HJ MOHAMMAD FADZIL – HARAKAHDAILY 22/2/2021

- Advertisement -