Nasib lima beradik viral diberi perhatian

PAGI tadi, saya bersama-sama Penghulu dan pegawai-pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pasir Mas ke Kampung Binjai Pulau, Kubang Terap meninjau kes yang viral lima beradik yang tinggal bersama datuk mereka. Pegawai-pegawai saya daripada Pusat Khidmat Parlimen Pasir Mas telah membuat tinjauan awal beberapa hari lepas begitu juga pihak JKM Pasir Mas. 

Beberapa kesimpulan telah diambil daripada perbincangan panjang pagi tadi:

(1) Pihak JKM akan memohon perintah mahkamah untuk mendapatkan hak penjagaan kanak-kanak ini dalam masa terdekat. Ada beberapa isu yang menyebabkan keputusan ini diambil yang tidak dapat dinyatakan secara terperinci.

(2) Datuk dan nenek kepada kanak-kanak ini akan kembali ke kampung halaman di Pasir Puteh tidak lama lagi dan tidak akan meneruskan penjagaan seperti sekarang.

Advertisement

(3) Beberapa keluarga dan individu berdekatan telah dilantik secara rasmi untuk menjadi ‘penjaga’ bagi pihak JKM dan akan mendapat elaun khas yang akan diperuntukkan. Mereka akan bertindak sebagai penjaga dalam tempoh percubaan selama sebulan. 

(4) Anak yang sulung (12 tahun) dan kedua (11 tahun) akan bersekolah di mana urusan persekolahan dikatakan telah diuruskan oleh pihak-pihak tertentu. 

Saya kemudiannya membawa mereka berdua membeli-belah barangan keperluan persekolahan. Abang sulung dan kakak sebagai anak kedua ini cukup matang dan berdikari. Namun, menjadi kebimbangan kita semua dengan sisi gelap yang terpaksa dilalui akan menyebabkan perkembangan yang negatif jika tidak dipantau. 

Alhamdulillah, kelengkapan persekolahan telah diuruskan dan saya akan minta pegawai saya mendapatkan buku teks memandangkan ini pendaftaran baru dan agak sukar untuk pihak sekolah menyediakan buku teks di bawah Skim Pinjaman Buku Teks kepada pelajar baru.

Sememangnya ada kelemahan di pihak berwajib untuk mengesan kes ini memandangkan ibu kepada kanak-kanak ini hanya mula tiada bermula lebih kurang seminggu yang lepas. Semoga ada sinar masa depan yang cerah untuk kanak-kanak yang berpotensi ini. 

Sebarang sumbangan daripada semua pihak pada pandangan saya agak kurang sesuai untuk dihulurkan kepada keluarga terdekat. Antara yang boleh dihubungi ialah Penghulu tempatan atau jiran-jiran terdekat yang dipertanggungjawabkan untuk bertindak sebagai penjaga. Begitu juga NGO-NGO yang telah turun sebelum ini juga boleh dijadikan perantara. Pejabat saya juga bersedia untuk dihubungi untuk sebarang sumbangan. Telefon: 09-7902000 (waktu pejabat).

YB USTAZ AHMAD FADHLI SHAARI
Ahli Parlimen Pasir Mas
22 Februari 2021 – HARAKAHDAILY 22/2/2021

*gambar-gambar yang memaparkan wajah kanak-kanak ini tidak disiarkan
*fakta-fakta lanjut dan terperinci juga tidak dapat dinyatakan secara terbuka