Calon SPM di Kedah bebas Covid-19

- Advertisement -

ALOR SETAR: Kesemua calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Kedah setakat ini disahkan bebas Covid-19 bagi membolehkan mereka menduduki peperiksaan mulai hari ini.

Seramai 29,936 calon menduduki peperiksaan itu di 236 pusat di seluruh Kedah, manakala seramai 3,305 guru dilantik sebagai petugas peperiksaan.

Jumlah berkenaan melibatkan calon sekolah kerajaan, bantuan kerajaan, sekolah agama bantuan kerajaan dan sekolah menengah agama rakyat.

Exco Agama, Pendidikan dan Sumber Manusia, Dato’ Najmi Ahmad berkata, sehingga kini tiada sebarang sebarang maklumat rasmi mengenai pelajar yang tidak dapat menduduki peperiksaan kerana dijangkiti wabak.

- Advertisement -

“Saya berharap Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) Kedah dan pihak pengurusan sekolah sentiasa memastikan Prosedur Operasi Standard (SOP) dipatuhi bagi membolehkan peperiksaan berjalan lancar.

“Setakat ini saya berpuas hati dan mendapati semua pelajar dalam keadaan baik dan tiada masalah menduduki peperiksaan,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan lawatan ke Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Kedah di sini hari ini.

Turut hadir Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Kedah, Rozaini Ahmad.

Daripada seramai 29,936 pelajar menduduki peperiksaan itu 26,022 calon dari sekolah kerajaan, sekolah bantuan kerajaan dan sekolah agama bantuan kerajaan.

Manakala 1,335 calon sekolah menengah agama rakyat. Seramai 931 calon lagi calon Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), Maktab Tentera Diraja (MTD) dan sekolah perantis tentera.

Najmi juga berkata, seramai 478 calon pula mewakili sekolah menengah agama negeri, 171 sekolah swasta yang berdaftar di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan 999 calon persendirian.

“Selain itu terdapat 54 calon golongan kurang upaya (OKU) yang mempunyai masalah pembelajaran, pendengaran, penglihatan (rabun) dan kurang upaya fizikal.

“Kerajaan negeri juga berharap Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), sekolah dan pelajar berusaha lebih gigih supaya dapat melonjakkan Kedah ke kedudukan yang lebih baik,” katanya. – HARAKAHDAILY 22/2/2021

- Advertisement -