Belum sampai masa bincang terbuka kerusi PRU15

- Advertisement -

KANGAR: Ketika pandemik Covid-19 masih lagi menular pemimpin-pemimpin politik yang bernaung bawah Perikatan Nasional (PN) seharusnya memberi fokus membantu rakyat yang terjejas.

Pesuruhjaya PAS Perlis, Mohd Shukri Ramli berkata, belum sampai masanya membincangkan agihan kerusi bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) secara terbuka.

Katanya isu berkaitan agih kerusi wajar diputuskan jawatankuasa yang dibentuk yang mewakili PAS, Umno dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

“Mereka sudah tentu mempunyai formula tersendiri bagi menyelesaikan pertikaian dan kerumitan yang timbul berhubung pengagihan kerusi pada pilihan raya akan datang.

“Kita sebagai Adun atau Ahli Parlimen seharusnya memberi tumpuan kepada pembangunan ekonomi di Dun dan kawasan masing-masing,” ujarnya di sini.

- Advertisement -

Baru-baru ini Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri, Dato’ Seri Shahidan Kassim dilapor berkata parti itu akan bertanding di ketiga-tiga Parlimen di Perlis iaitu Padang Besar, Kangar dan Arau.

Menurutnya, perkiraan itu berdasar formula iaitu mana-mana parti dalam gabungan yang mendapat undi kedua tertinggi dalam PRU lalu bakal diberi laluan bertanding.

Pada PRU14 PAS menang di Guar Sanji dan Sanglang, manakala Barisan Nasional (BN) pula memenangi 10 daripada 15 kerusi Dun.

Parlimen Arau dan Padang Besar juga dimenangi BN. Bagaimanapun parlimen Kangar pertama kali dikuasai PKR.

Bersatu pula tewas di kesemua kerusi yang ditandingi iaitu di Pauh, Guar Sanji, Mata Ayer, Tambun Tulang, Kayang.

Mohd Shukri yang juga Adun Sanglang berkata, Malaysia menerima ketibaan vaksin Pfizer-BioNTech semalam untuk memulakan program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

Menurutnya program vaksinasi terbesar tersebut pasti menjadi sejarah terbaru di Malaysia.

“Difahamkan kita menjadi antara negara terawal di Asia Tenggara selepas Singapura yang akan menggunakan vaksin tersebut bagi membentuk imuniti terhadap jangkitan virus Covid-19,” katanya.

Beliau juga berharap usaha kerajaan itu dapat membendung pandemik Covid-19 dan mampu memulih kembali ekonomi negara. – HARAKAHDAILY 22/2/2021

- Advertisement -