YADIM mendepani gerakan riddah dalam negara

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pengakuan seorang lelaki bukan Islam yang mendakwa telah memurtadkan seorang muslimah dan merancang untuk memudah cara kegiatan memurtadkan umat Islam di negara ini sangat dikesali.

“Ianya jelas bertentangan malah mencabar peruntukan perlembagaan negara yang memberi jaminan mengenai kedudukan Islam di negara tercinta ini,” kata Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Ustaz Nasrudin Hassan.

Katanya, ketegasan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri dalam isu berkenaan amat disambut baik.

- Advertisement -

Zulkifli dilaporkan berkata, hampir semua negeri mempunyai Enakmen Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam Kepada Orang Islam, yang digubal berdasarkan punca kuasa pada Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan.

“Saya difahamkan bahawa Akta Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam Kepada Orang Islam bagi Wilayah Persekutuan kini dalam proses akhir penggubalan. Ini merupakan antara keutamaan kerajaan dalam memperkasa perundangan syariah di Malaysia,” katanya.

Dalam pada itu, Nasrudin menegaskan YADIM akan menggerakkan seluruh jenteranya di peringkat nasional dan juga negeri untuk membina benteng sekali gus menyemarak usaha dakwah ke arah mempertahankan akidah dan pemikiran umat Islam.

Beliau berkata, gerakan riddah (usaha memurtadkan umat Islam) tidak boleh dipandang ringan.

Menurutnya lagi, selain daripada pihak berkuasa yang mengambil langkah menyiasat dan bertindak di atas peruntukan undang-undang sedia ada, YADIM akan berperanan untuk mengukuhkan kefahaman umat Islam terhadap agama dan cara hidup berpandukan petunjuk Allah SWT.

Tambahnya, YADIM akan turut menggerakkan dua agensi pentingnya iaitu Majlis AMAL Islami Malaysia (MAIM) yang dianggotai oleh 280 NGO Islam dan juga Nadwah Ulamak dan Intelektual Islam YADIM (NUIM) untuk mendepani gerakan riddah dalam negara ini.

“Isu riddah (perancangan memurtadkan umat Islam) ini insya-Allah akan ditangani secara bersepadu antara YADIM bersama agensi agama yang lain termasuk JAKIM, Jabatan Mufti, Majlis Agama di negeri-negeri dan TV Al Hijrah, bahkan pihak berkuasa seperti PDRM bagi memastikan dua aspek utama dapat ditangani dengan tuntas,” ujarnya menerusi laman Facebook Al Bayaanul Mubin beliau.

Jelasnya, aspek pertama adalah pemahaman dan pengukuhan akidah Islamiah dan syariatnya dalam kalangan umat Islam.

Aspek kedua pula, ujarnya ialah pemahaman dan kepatuhan seorang warga negara kepada peruntukan Perlembagaan khasnya Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan yang menegaskan bahawa Islam adalah Agama Persekutuan, namun agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di dalam negara ini, serta Perkara 11 (4) Perlembagaan Persekutuan yang mengawal penyebaran iktiqad lain kepada umat Islam. – HARAKAHDAILY 21/2/2021

- Advertisement -