Program sanitasi kenderaan awam usaha cegah COVID-19

- Advertisement -

SUNGAI PETANI: Lajnah Kebajikan PAS Kawasan Sungai Petani dengan kerjasama Pusat Khidmat Wakil Rakyat DUN Pantai Merdeka telah mengadakan program Sanitasi Kenderaan Awam secara percuma, baru-baru ini.

Inisiatif bertujuan mencegah dan menangani kemungkinan kewujudan COVID-19 di persekitaran awam ini telah dilaksanakan di Restoran Puyu Besar Tikam Batu, Darul Murtadha Sungai Jagung dan Paklong Gazebo Sidam Kiri.

- Advertisement -

Di samping itu, menerusi program ini, ia juga bagi meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap amalan kebersihan serta sentiasa mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) kesihatan dan arahan berkaitan COVID-19.

Dengan enam petugas dan tiga mesin sanitasi, lebih 100 kenderaan telah disanitasi di tiga lokasi tersebut selama tiga hari program diadakan di mana pihak penganjur merancang untuk dilaksanakan secara berkala.

ADUN Pantai Merdeka, Ustaz Ahmad Fadzli Hashim selaku juga Yang Dipertua PAS Sungai Petani turut hadir meluangkan masa dan membantu petugas melaksanakan kerja-kerja sanitasi di tiga lokasi tersebut.

Beliau yang juga Timbalan Speaker DUN Kedah berharap kerja amal sedemikian kepada masyarakat dapat dipergiatkan sebagai antara sumbangan dalam memerangi COVID-19 di mana kini berada di dalam masyarakat.

Kerjasama sedemikian juga harapnya akan dapat diperluaskan dalam penganjuran yang seterusnya dengan penglibatan swasta dan pihak berkuasa lain demi melindungi keselamatan dan kesihatan awam. – HARAKAHDAILY 21/2/2021

- Advertisement -