Pertama kali calon SPM berdepan SOP ketat

- Advertisement -

KOTA BHARU: Semua calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang akan bermula esok perlu mematuhi segala prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.

Semua pihak termasuk ibu bapa dan guru perlu memberi semangat pada pelajar supaya mereka dapat mengikuti peperiksaan dengan tenang.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Teknologi Maklumat negeri, Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, tahun ini merupakan pengalaman pertama pelajar menghadapi peperiksaan dengan penuh SOP.

- Advertisement -

“Kerana itu kita mesti mematuhi saranan pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) termasuk Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

“Pematuhan tersebut amat penting untuk mengelak penularan Covid-19 yang sudah berada dalam komuniti sekarang,” ujarnya ketika ditemui di sini.

Pada masa yang sama beliau mengingatkan ibu bapa memantau anak masing-masing di rumah sekiranya mereka demam mesti dirujuk kepada klinik kesihatan atau hospital dengan segera.

“Dorongan ibu bapa dan guru terhadap calon-calon SPM ketika ini amat penting bagi memberi semangat kepada mereka untuk terus berjuang.

“Elakkan mereka daripada merasa stress, tidak bersemangat dan sebagainya kerana kekangan SOP yang tidak pernah berlaku sebelum ini,” ujarnya.

Baru-baru ini beliau turut mengadakan lawatan ke beberapa sekolah untuk meninjau persiapan menghadapi SPM termasuk pematuhan SOP yang ditetapkan.

Menurutnya, beliau berpuas hati dengan persiapan peperiksaan di sekolah Yayasan Islam Kelantan (YIK) dan sekolah Jabatan Pendidikan bagi memenuhi SOP yang ditetapkan.

“Saya melihat pihak sekolah sangat faham dan patuh sepenuhnya SOP KKM dan KPM berkaitan peperiksaan ketika pandemik Covid-19 sekarang.

“Penjarakan fizikal antara satu calon dengan calon lain, pergerakan keluar, masuk dan tinggal dewan peperiksaan dan prosedur lain difahami mereka,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan pelajar mematuhi sepenuhnya disiplin dan sebaiknya calon SPM datang awal bagi mengelakkan kesesakan berlaku di dewan peperiksaan memandangkan pelajar tidak dibenarkan masuk serentak ke dalam dewan.

Jumaat lepas kebanyakan masjid di Kelantan mengadakan solat sunat hajat bagi memohon ke hadrat Ilahi supaya dipermudahkan peperiksaan dijalankan dan dijauhi segala bala bencana. – HARAKAHDAILY 21/2/2021

- Advertisement -