Ladang itik berkurang, pengeluaran telur meningkat

- Advertisement -

TUMPAT: Jumlah pengeluaran telur itik meningkat kepada 2,539,125 biji biar pun bilangan ladang itik berkurangan kepada 61 buah dengan kapasiti 38,855 ekor itik berbanding tahun 2019.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Dato’ Che Abdulllah Mat Nawi berkata, industri ternakan unggas di Malaysia merupakan salah satu industri yang menjadi penyumbang utama kepada sumber protein negara.

Katanya, komoditi unggas mencatatkan 98.2 peratus bagi daging ayam dan itik, manakala 113.6 peratus bagi telur ayam dan itik pada tahun 2019.

- Advertisement -

“Itik dara mula menghasilkan telur pada umur antara lima hingga 5.5 bulan. Puncak pengeluaran telur sehingga 92 peratus dihasilkan oleh itik yang berumur 30 hingga 72 minggu dengan berat telur yang ideal 65 hinggal 70 gram/biji.

“Jumlah populasi itik di Malaysia pada tahun 2019 ialah sebanyak 9,143,034 ekor,” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke Projek Ternakan Itik Penelur, di Kampung Delima, Wakaf Bharu, di sini, semalam. (Foto atas)

Tambahnya, pada tahun 2019, terdapat sebanyak 204 ladang itik penelur di Malaysia dengan kapasiti sebanyak 2,177,952 ekor itik dan pengeluaran sehingga 163,346,400 biji telur (11,434.25 tan metrik per tahun).

Daripada jumlah tersebut katanya, sebanyak 38 peratus ladang adalah di Kelantan (78 ladang) dengan kapasiti 30,234 ekor itik dan menyumbang pengeluaran telur sebanyak 2,267,550 biji (158.73 tan metrik per tahun).

Penternakan itik juga diusahakan penduduk kampung secara kecil-kecilan di kawasan rumah, sebagai pekerjaan sampingan bagi menambah pendapatan keluarga. – HARAKAHDAILY 21/2/2021

- Advertisement -