Kerajaan bantu nelayan tingkat pendapatan

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan membelanjakan sejumlah RM66,000 untuk penyediaan pukat bagi projek penternakan ikan dalam sangkar sebagai usaha bagi menambah pendapatan golongan nelayan.

- Advertisement -

Sumbangan berkenaan diberikan kepada 33 nelayan di Kampung Pulau Kundur di Dun Kijang, dekat sini baru baru ini.

Adun kawasan berkenaan, Dr Izani Husin menyampaikan sumbangan itu pada program ringkas yang diadakan kelmarin.

Beliau berkata, jumlah peruntukan bagi tujuan itu mungkin akan meningkat sekiranya permohonan daripada nelayan dan penduduk bertambah.

“Kita akan memohon tambahan peruntukan daripada portfolio Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi, Teknologi Hijau dan Alam Sekitar sekiranya ia belum mencukupi,” ujarnya ketika ditemui di sini.

Pada masa yang sama, Dr Izani yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri mengucapkan tahniah kepada penduduk di Dun berkenaan kerana rajin mencari rezeki.

Katanya, Covid-19 bukan penghalang untuk terus mencari rezeki, asalkan ia mematuhi prosedur operasi standard (SOP) seperti ditetapkan kerajaan bagi mengelakkan penularan pandemik Covid 19.

Katanya juga, kerajaan negeri sentiasa membantu dan menyokong usaha rakyat bagi meningkatkan ekonomi keluarga melalui pelbagai program pertanian dan keusahawanan. – HARAKAHDAILY 21/2/2021

- Advertisement -