Frontliners Terengganu terima suntikan 28 Februari

Seorang pelajar India menerima tablet percuma daripada Dato’ Ahmad Amzad dan disaksikan Ketua Penerangan DHPP, Dr Balachandran (tengah).
- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Kesemua barisan hadapan atau frontliners di Terengganu akan menerima suntikan vaksin Covid-19 pada 28 Februari ini.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Dato’ Ahmad Amzad Hashim berkata, vaksinasi di peringkat negeri Terengganu bermula pada 28 Februari ini.

- Advertisement -

Manakala, katanya vaksinasi di peringkat nasional pula lebih awal iaitu bermula 26 Februari yang didahului oleh Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri.

“Kita akan mulakan 28 Februari vaksinasi di Terengganu. Vaksinasi di peringkat nasional pada 26 Februari. Orang yang pertama akan menerima vaksinasi ialah Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri, bersama Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Dato’ Seri Dr Noor Hisham Abdullah.

“Ini sebagai simbol komitmen daripada pemimpin sendiri dan proses yang sama dibuat di peringkat kementerian-kementerian, menteri yang akan menerima suntikan itu.

“Di peringkat kerajaan Terengganu, semua Ahli Yang Berhormat (ADUN), daripada Speaker DUN Terengganu hinggalah kepada ADUN yang dilantik iaitu Zuraina Mohd Nor,” ujarnya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Terengganu berkata demikian selepas agihan peranti tablet kepada seorang pelajar Tionghua di Kampung Cina, Kuala Terengganu, semalam.

Sebelum itu, Ahmad Amzad menyertai program Ziarah Pelajar bagi menyerahkan tablet di empat DUN iaitu Batu Buruk, Ladang, Wakaf Mempelam dan DUN Bandar.

Menjawab persoalan pihak yang mengkritik suntikan vaksinasi yang didahulukan kepada pemimpin utama negara, kata Amzad Amzad, definisi ‘frontliners’ perlu diperjelaskan.

“Inilah masalahnya, apabila kita (kerajaan) beritahu frontliners ini didahulukan (vaksinasi), jadi ada pihak yang pertikaikan. Sepatutnya, pemimpinlah dahulu (disuntik) tunjuk contoh yang baik.

“Apabila kita masukkan pemimpin (didahulukan) ada pula yang pertikaikan kenapa pemimpin didahulukan daripada frontliners. Jadi, bagaimana kita mendefinisikan frontliners itu.

“Pertamanya, petugas kesihatan seramai 300,000 dan ada baki lagi 200,000 itu berkait dengan mereka yang terlibat langsung dengan anggota keselamatan seperti polis, askar, imigresen di pintu-pintu pagar (masuk) negara yang melibatkan dengan orang ramai,” jelasnya.

Justeru, kata beliau, kategori pemimpin ini kerana pemimpin memang bergerak untuk menyelesaikan masalah rakyat.

“Mereka (pemimpin) bertemu dengan orang ramai, maka kerana itu mereka berisiko untuk terima jangkitan dan mereka juga berisiko untuk menjangkitkan kepada orang lain.

“Sekiranya, pemimpin itu kena kuarantin selama 14 hari, berapa banyak urusan rakyat yang terpaksa tertangguh. Jadi ini menjejaskan orang ramai.

“Begitu juga petugas kesihatan seperti yang berlaku di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu. Seramai 48 orang petugas kesihatan dijangkiti Covid-19, hingga menyebabkan terpaksa tutup Jabatan Kecemasan,” ujarnya.

Menurut Amzad Amzad, pemimpin juga perlu menunjukkan contoh yang baik bagi memberi keyakinan kepada rakyat bahawa vaksin ini adalah berkesan dan selamat. – HARAKAHDAILY 21/2/2021

- Advertisement -