Ceroboh privasi, mangsa aniaya Sugarbook tertekan

KUALA KEDAH: Pelajar yang menjadi mangsa penganiayaan aplikasi Sugarbook mengalami gangguan emosi dan tekanan perasaan selepas mengetahui gambar dan butiran peribadinya terpapar di laman berkenaan.

Pelajar berkenaan terkejut apabila menerima mesej dari kawannya berkenaan hal demikian yang dimuat naik di akaun Facebook Bola dan PU Rahman.

“Masa itu saya tengah ulang kaji untuk peperiksaan esoknya. Jadi amat terkejut sangatlah. Sedangkan saya tidak pun menerima atau memohon untuk menyertai aplikasi itu,” jelas beliau ketika ditemui Harakahdaily di kediamannya, baru-baru ini.

Anak kedua dari lapan beradik itu dimaklumkan oleh ibu bapanya, tidak gemar bersosial dan tidak mempunyai ramai kawan.

Advertisement


Walau bagaimanapun katanya, kesilapannya mencatat maklumat diri dan tempat tinggal di akuan Instagram miliknya antara kemungkinan penyebab maklumat berkenaannya ‘dicuri’ oleh pihak tidak bertanggungjawab untuk tujuan tersebut.

Sementara itu, ayahnya, Zamri Saidin, bertekad akan membawa hal ini ke pihak berkaitan sehingga aplikasi berkenaan ditutup dan pihak tidak bertanggungjawab itu dibanteras.

“Saya akan lawan. Seandainya usaha di sini sahaja, perkara ini boleh berulang lagi. Mana-mana yang mengalami nasib seperti anak saya diminta tampil buat pengaduan,” kata beliau.

Walau bagaimanapun setakat ini beliau belum lagi menghubungi mana-mana pihak guaman berikutan kekangan hidupnya yang hanya bekerja sebagai peniaga kecil-kecilan.

Namun begitu Zamri mengalu-alukan sekiranya ada pihak yang sudi membantunya akan hal ini.

Isterinya, Zahirah Saidin, juga berpandangan sama kerana tidak sanggup melihat keadaan anaknya yang dilihat agak tertekan dengan situasi itu.

“Lebih menyedihkan, dia terima maklumat itu pada 16 Februari, sedangkan esoknya 17 Februari dia akan menghadapi peperiksaan. Tentulah sedikit sebanyak mengganggu tumpuannya,” ujarnya sebak.

Beliau juga mengharapkan agar apa yang berlaku kepada anaknya tidak terjadi kepada orang lain.

Berikutan itu, laporan polis berkenaannya telah dibuat di Balai Polis, Kota Sarang Semut pada 17 Februari lalu dan sebarang maklumat lanjut boleh menghubungi ayahnya Zamri, di talian 011-18851124.

Dalam perkembangan lain, pelajar itu dan keluarganya menerima kunjungan isteri Menteri Besar, Jusmalailani Jusoh ke rumahnya semalam.

Beliau menyampaikan sumbangan selain kata-kata nasihat sebagai perangsang kepada keluarga terbabit. – HARAKAHDAILY 21/2/2021