Al-kisah program vaksinasi

- Advertisement -

TERDAPAT desakan kepada negara-negara maju untuk berkongsi agihan vaksin COVID-19 kepada negara-negara yang sedang membangun. Perkongsian tersebut perlu dimulakan sekarang bukan sekadar menanti lebihan bekalan, bagi memastikan penularan virus Corona SARS-2 dapat segera dibendung. United Kingdom (UK) sebagai contoh telah memulakan program vaksin seawal Disember tahun lalu. Vaksin utama yang ditawarkan adalah jenis Pfizer/BioNTech dan Oxford University/AstraZeneca

Pemberian vaksin dijalankan secara berperingkat dengan keutamaan diberikan kepada semua penghuni rumah jagaan warga emas (care home) dan kakitangannya. Peringkat kedua, diberikan kepada semua penduduk berusia 80 tahun dan ke atas serta pekerja barisan hadapan. Warga emas berusia 75 tahun dan ke atas berada di peringkat ketiga. 

- Advertisement -

Keutamaan seterusnya kepada mereka yang berusia 70 tahun dan ke atas dan mereka yang berisiko tinggi mengidap jangkitan. Negara UK telah berjaya mencapai sasaran bagi memberikan sekurang-sekurangnya satu dos vaksin kepada majoriti empat golongan di atas pada 15 Februari yang lalu. Sasaran terkini adalah kepada golongan yang berusia antara 65-69 tahun.

Data menunjukkan lebih dari 17 milion penduduk UK telah menerima dos pertama vaksin dan lebih dari 600 ribu orang telah menerima dos kedua, menjadikan UK negara ketiga tertinggi penerima vaksin COVID-19 di dunia (23 orang penerima vaksin bagi setiap 100 orang penduduk) mendahului mana-mana negara di benua Europah. 

Dapatan dari program vaksinasi yang sedang berjalan menunjukkan terdapat 3-4 aduan kesan sampingan dilaporkan bagi setiap seribu dos yang ditawarkan bagi kedua-dua jenis vaksin (Pfizer/BioNTech dan Oxford University/AstraZeneca). Antara kesan sampingannya adalah rasa sakit pada tempat suntikan, sakit kepala, keletihan, meloya, demam, pening, sakit otot dan kenaikan kadar degupan jantung. Kesan ini dilaporkan berlaku dalam masa yang singkat selepas menerima suntikan vaksin dan tidak bertambah serius. 

Pada hujung Disember yang lalu, badan di bawah Kementerian kesihatan United Kingdom, The Medicines and Healthcare products Regulatory Agency (MHRA) mengeluarkan garis panduan bagi mereka yang mengalami alahan teruk untuk tidak mengambil vaksin jenis Pfizer/BioNTech. Terdapat laporan awal menunjukkan ada penerima vaksin jenis ini mengalami anafilaksis (anaphylaxis). Dianggarkan 1-2 kes anafilaksis berlaku bagi setiap 100,000 dos vaksin yang diberikan. Kerana itu, setiap penerima vaksin perlu dipantau sekurang-kurangnya selama 15 minit selepas suntikan diberikan bagi memastikan tiada tindak balas yang tidak diingini berlaku. 

Keberkesanan program vaksinasi di UK mula dirasai oleh pekerja barisan hadapan terutamanya di hospital di England apabila jumlah pesakit COVID-19 mula menurun secara drastik. Pada bulan lepas jumlah pesakit COVID-19 yang dirawat di hospital adalah seramai 34,336 namun kini menurun kepada 15,633 orang. Jumlah penurunan yang sangat ketara ini melegakan ramai pekerja barisan hadapan yang sudah lama keletihan. 

Dilihat dari satu sudut, UK seolah-olah bersifat tamak dan ingin memonopoli bekalan vaksin yang dihasilkan di UK dan Europa. Namun ketamakkan ini adakalanya dilihat logik apabila lebih dari 120,000 orang penduduknya telah terkorban akibat pandemik COVID-19. Pihak pemerintah UK dilihat bertungkus lumus cuba menyelamatkan rakyat, sistem kesihatan dan ekonomi negaranya. 

Pemberian dan penerimaan vaksin adalah salah satu dari usaha kita dalam memelihara nyawa yang merupakan sebahagian dari Maqasid Syariah. Sebagai manusia, kita cuma mampu berusaha sedangkan Allah jualah yang menentukan hasilnya.

DR. HANI’AH ABDULLAH 
Anti-infective virologist
Alderley Park.

Rujukan utama;
Department of Health & Social Care, UK 
The Medicines and Healthcare products Regulatory Agency (MHRA) – HARAKAHDAILY 21/2/2021 

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -