Air mata ibu berlinangan ditinggalkan di tepi jalan

Foto daripada Facebook Lembaga Zakat Selangor.
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Lembaga Zakat Selangor (LZS) menerima info daripada orang awam yang terjumpa seorang wanita warga emas berkerusi roda ditinggalkan berseorangan di tepi jalan berserta lampin pakai buang dan beg pakaian.

“Skuad Saidina Umar (SSU) Zakat Selangor serta Ketua Operasi Agihan Daerah Kuala Langat bertindak segera turun pada jam 8.30 malam tadi bagi menyantuni wanita ini,” ujar LZS dalam satu hantaran menerusi laman Facebooknya, hari ini.

LZS memaklumkan hasil siasatan mendapati beliau merupakan asnaf fakir LZS dan masih mempunyai keluarga.

Menurutnya, usaha menghubungi keluarga berjaya dilakukan namun tidak mendapat kerjasama yang baik apabila tiada seorang waris yang sudi menjemputnya kembali ke rumah dengan pelbagai alasan.

- Advertisement -

“Oleh kerana keadaannya yang kudung sebelah kaki serta ingatan tidak berapa baik, kami terpaksa menyerahkannya untuk tindakan lanjut pihak polis di bawah bidang kuasa pihak berwajib,” ujar LZS lagi.

Pihak polis menggunakan bidang kuasa mereka dengan menghubungi anaknya serta akan menjalankan sesi rundingan mengikut kepakaran mereka.

Menurut LZS, anaknya bersetuju akan hadir ke balai polis untuk mengambil ibu itu kembali.

Namun, sekitar jam 3.00 pagi, anaknya membuat keputusan tidak boleh menjaga ibunya lagi dan pihak polis terpaksa menghubungi pusat jagaan warga emas yang datang menaiki ambulans untuk membawa ibu itu ke hospital bagi pemeriksaan kesihatan dan saringan Covid-19.

“Hati mana yang tidak tersentuh apabila ibu ini masih mendoakan yang terbaik untuk anaknya. “..dah lama acik tak jumpa anak, anak acik baik orangnya”.

“Kami cuba menyembunyikan rasa sebak kami kepada beliau. Mungkin ada kisah keluarga yang hanya mereka sahaja mengetahuinya.

“Kami serahkan ibu ini mengikut prosedur dan kita tempatkannya di Pusat Jagaan Warga Emas dengan kebenaran anaknya dan semua kos akan ditanggung oleh pihak Zakat Selangor,” ujar LZS.

Foto daripada Facebook Lembaga Zakat Selangor.

Pihak LZS mengucapkan terima kasih kepada orang awam yang menyampaikan info kepadanya, juga kepada pihak Pusat Jagaan Warga Emas Baitul Mawaddah dan Pusat Jagaan warga Emas SRA serta pihak Balai Polis Sri Muda yang bekerjasama dari malam hingga ke awal pagi dalam menguruskan kes itu.

“Marilah sama-sama kita doakan semoga usaha ini mendapat keberkatan dari Allah dan ibu ini dapat dijaga dengan penuh kasih saying,” kata LZS lagi.

Kisah itu mengingatkan LZS kepada firman Allah dalam Surah Al-Isra’, ayat 23 dan 24 yang bermaksud: “Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan ‘ha’, dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun).
“Dan hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): “Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil.”
– HARAKAHDAILY 21/2/2021
.

- Advertisement -