Perginya srikandi hati kami Rusiah Zakaria

- Advertisement -

SEMALAM Jumaat, 7 Rejab 1442 Hijrah bersama 19 Februari 2021 berderailah air mata jernih menerima khabar duka, perginya srikandi hati PAS Cawangan FELDA Lembah Klau apabila Ketua Muslimatnya, Rusiah Zakaria, 53 akhirnya kembali ke pangkuan Penciptanya, bertepatan pada waktu khutbah Jumaat sedang berlangsung. Perkhabaran itu diberitahu kepada saya oleh kakak almarhumah sendiri, Rosnah Zakaria.

Sebelum itu pada 17 Februari, para pimpinan PAS Kawasan Raub terdiri daripada Yang Dipertua, Dr Mohammad Nilam Abd Manaf dan isteri, serta Timbalan Yang Dipertua, Tengku Shah Amer Tengku Perang serta Pengerusi Ketua Lajnah Kebajikan, Ani Jariah Md Sani dan saya sendiri telah mengadakan ziarah menyantuni Rusiah serta telah menyampaikan sedikit sumbangan bantuan bagi meringankan perbelanjaan beliau.

Sewaktu hayatnya Almarhumah selaku Ketua Muslimat FELDA Lembah Klau, telah banyak berjasa menggerakkan kegiatan majlis-majlis ilmu dan pelbagai aktiviti parti terutamanya bagi Muslimat di FELDA Lembah Klau. Hampir setiap minggu kami berusrah bersama.

- Advertisement -

Meskipun beliau orang yang agak pendiam, namun kemesraan dan kasih sayang terjalin begitu erat dalam kalangan sahabat-sahabat yang mengenalinya. Sifat lembut dan penyayang amat jelas terpancar pada wajah ikhlasnya yang sangat bersahaja, sepanjang mengenali Allahyarhamah. 

Sepanjang tempoh kami berusrah, rata-rata beliau adalah kesayangan semua Muslimat Lembah Klau. Usrah kami terhenti agak lama hanya kerana PKP pendemik COVID-19.

Hinggalah pada hari Selasa, 10 Februari lalu, saya mendapat berita beliau telah dimasukan ke Hospital Lipis, dari bilik kecemasan Hospital Raub.

Ketika itu keadaannya koma, dan diberi bantuan oksigen sepanjang berada di hospital sehingga pada hari Ahad, 14 Februari pihak hospital telah menghentikan penggunaan oksigen dan beliau telah boleh bernafas sendiri.

Pada Rabu, 17 Februari beliau boleh keluar dari Hospital Lipis dan dibawa balik ke rumah kakaknya di FELDA Lembah Klau. Kami sahabat-sahabat penuh debaran menanti untuk bertemu. Kerana selama beberapa hari dimasukkan ke Hospital Lipis, tiada siapa berpeluang menziarahi, kerana kawalan PKPD. Walaupun cuba mendapatkan kebenaran Polis Raub untuk merentas daerah, tapi tidak dibenarkan. 

Apabila ditanya kepada kakak beliau, Rosnah mengenai penyakit Arwah, jawapannya memang tidak dapat dikesan. Kerana pada asalnya semua dalam keadaan stabil.

Bagi seluruh ahli PAS Kawasan Raub, ini adalah satu kehilangan yang sukar dicari ganti dan seluruh keluarga serta sahabat handai turut bersedih diatas pemergian buat selamanya ini. Apapun inilah takdir dan ketentuan Allah S.W.T. 

Pengurusan jenazah telah selamat disempurnakan serta solat jenazah di Masjid Ar Rahmah Lembah Klau selepas solat Asar dan akhirnya dibawa ke pengkebumian.

Catatan rasa,

JARIAH ISMAIL
Ketua Penerangan
Muslimat PAS Kawasan Raub – HARAKAHDAILY 20/2/2021

- Advertisement -