MB sedia jadi penerima pertama suntikan vaksin

Ustaz Ahmad memotong riben perasmian Ir Mart di Taman SPP Warisan Kampung Berangan.
- Advertisement -

TUMPAT: Menteri Besar Kelantan, Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob bersedia menjadi orang pertama di negeri ini menerima suntikan vaksin Covid-19.

Katanya, beliau sudah bersedia untuk menerima suntikan vaksin yang dijangka akan mula disuntik pada awal Mac ini di negeri ini.

Beliau bagaimanapun berkata, sebelum itu perbincangan secara maya akan diadakan mengenai suntikan vaksin tersebut tidak lama lagi.

- Advertisement -

“Insya-Allah pada 4 Mac ini satu perbincangan secara online diadakan dengan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin berhubung perkara itu.

“Kita akan berbincang beberapa perkara berkaitan untuk mendapatkan pencerahan, arahan dan perbincangan antara dua pihak,” ujarnya.

Malah tambah beliau, pihaknya sudah bersedia melalui Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr Zaini Hussin untuk menyusun dan melaksanakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan di negeri ini.

“Insya-Allah saya bersedia menjadi orang yang pertama nanti terima suntikan vaksin yang dijangka awal Mac ini diikuti pimpinan lain dan frontliners,” katanya kepada media selepas merasmikan Ir Mart di Taman SPP Warisan Kampung Berangan di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Datuk Che Abdullah Mat Nawi yang juga Ahli Parlimen Tumpat, ADUN Wakaf Bharu, Mohd Rusli Abdullah, ADUN Kelaboran, Mohd Adanan Hassan dan Ketua Umno Bahagian Tumpat, Datuk Zulkifli Abdullah.

Ustaz AHmad berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dr Izani Husin yang menyatakan Menteri besar dijangka menjadi orang pertama menerima suntikan itu.

Bekalan pertama vaksin Covid-19 untuk diberikan kepada rakyat Malaysia akan tiba ke negara ini esok. – HARAKAHDAILY 20/2/2021

- Advertisement -