Jangan politikkan pengumuman buka sekolah

- Advertisement -

SAYA meneliti pandangan dari ramai kenalan saya dari kalangan guru-guru yang menarik nafas lega apabila Menteri Pendidikan mengumumkan tarikh buka sekolah semalam. Malah ramai ibu bapa yang bersetuju juga dengan pengumuman itu.

Nasihat saya kepada pemimpin-pemimpin tertentu, sebelum anda cuba mempolitikkan keputusan ini, lakukanlah kajian yang menyeluruh kenapa sebahagian guru dan ibu bapa bersetuju dengan keputusan ini. Jangan bergantung kepada nasihat dari orang-orang kanan anda sahaja kerana sudah pasti anda akan hilang ‘mileage’ politik kerana cuba mempolitikkan keputusan itu.

Jika anda berhasrat untuk ‘menyerang’ pemimpin BERSATU atas sebab kepentingan politik peribadi menjelang PRU15, carilah isu yang lain. Saya tertanya-tanya juga kenapa setiap kali Menteri dari BERSATU mengambil ketetapan tertentu, anda lebih berminat dan lebih cepat untuk mengkritik dari kenyataan Menteri-menteri dari parti yang lain. 

- Advertisement -

Tahukan anda bil elektrik rumah yang terpaksa ditanggung ibu bapa dan guru-guru meningkat hampir 30 peratus ketika PdPR? Tahukah anda bila kuota akses internet sudah habis, pelajar-pelajar dari kalangan keluarga B40 khususnya terpaksa menanggung kos tambahan untuk membeli akses data tambahan internet yang diperlukan untuk PdPR? Tahukah anda tidak semua pelajar-pelajar dari kalangan keluarga B40 yang sudah memiliki peranti untuk pembelajaran secara PdPR? 

Tahukah anda masih ramai pelajar-pelajar yang tidak dapat meneruskan pembelajaran secara PdPR dengan baik kerana akses internet yang lemah dan tiada di kediaman masing-masing? Tahukah anda bahawa ada pelajar-pelajar yang berada di rumah tanpa pengawasan kerana kedua-dua ibu bapa mereka keluar bekerja sepanjang hari? Banyak cabaran-cabaran yang terpaksa ditanggung ibu bapa dan guru-guru yang saya boleh senaraikan di sini. Tetapi percayalah, ketika vaksin sudah hampir tiba, ditambah pula dengan SOP yang sangat ketat buat anak-anak kita untuk kembali ke sekolah, keputusan Menteri Pendidikan yang diumumkan semalam adalah keputusan yang baik buat masa ini.

Tidak rugi buat ibu bapa yang sudah membeli peranti untuk PdPR sebelum ini kerana banyak kegunaan lain yang boleh dimanfaatkan dari peranti itu. Malah buat ibu bapa yang khuatir peranti-peranti itu akan disalahgunakan anak-anak, simpankan sahaja peranti-peranti yang berkenaan di dalam laci yang berkunci. Malah peranti-peranti yang baru dibeli itu boleh digunakan semula jika PdPR terpaksa dilaksanakan semula akibat PKP. 

Tidak rugi DidikTV dilancarkan untuk bantu PdPR baru-baru ini kerana DidikTV juga boleh berfungsi sebagai alat bantuan mengajar oleh pihak sekolah ketika waktu sekolah, sama seperti TV Pendidikan sebelum ini. Malah DidikTV juga boleh diperkemaskan lagi sebagai persiapan untuk pendidikan digital yang lebih berkesan selepas ini. Malah jika PKP diumumkan lagi, DidikTV boleh digunakan sebagai medium yang lebih berkesan, lebih murah dan lebih luas untuk diakses pelajar ketika PdPR selepas ini. Tidak ada ruginya DidikTV dilancarkan walaupun pelajar perlu kembali semula ke sekolah.

Saya tidak nafikan ada baik dan ada buruknya dari pengumuman itu. Tetapi manfaat kebaikan dari keputusan itu jauh lebih banyak dari yang tidak baik. Saya yakin risiko dan manfaat telah cuba diimbangkan sebelum keputusan dibuat. Satu keputusan yang bukan sahaja dibuat oleh kepala seorang Menteri sahaja tetapi hasil gabungan ramai kepala-kepala mereka yang mahir dari pelbagai cabang bidang. Sama-sama kita hormati keputusan dan pandangan mereka juga.

HUZIR SULAIMAN
Penganalisis Politik – HARAKAHDAILY 20/2/2021

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -