Jangan berputus asa hadapi Covid-19 – PM

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengajak rakyat supaya tidak berputus asa dengan situasi masa kini dan bangkit kembali tatkala negara berhadapan dengan pandemik dan kesan Covid-19.

Beliau berkata tahun 2020 merupakan tahun yang sukar dan telah memberi banyak pengajaran buat semua rakyat, yang mana seperti negara-negara lain, Malaysia turut berdepan dengan situasi yang cukup luar biasa.

“Bak kata pepatah, kita tidak boleh mengubah arah angin tetapi kita boleh melaraskan layar kita supaya sentiasa sampai ke destinasi kita…kita adalah layar kita sendiri jadi marilah kita bekerjasama untuk menghadapi cabaran sukar ini, “ kata beliau dalam perutusan sempena Sambutan Rumah Terbuka Tahun Baru Cina Norma Baharu 2021 yang disiarkan di saluran televisyen utama negara malam ini.

- Advertisement -

“Pada masa yang sama, kita tidak boleh berputus asa ibarat seekor lembu yang sentiasa bertenaga dan bersedia untuk membajak dan berbakti kepada tanah,” katanya yang merujuk kepada sambutan Tahun Baharu Cina tahun ini yang jatuh pada Tahun Lembu.

Beliau berkata kerajaan prihatin dan sentiasa mendengar pandangan serta keluhan mereka yang terkesan akibat pandemik ini, malah kerajaan akan terus menggiatkan usaha untuk mengimbangi antara aspek kelangsungan hidup dan ekonomi negara.

Katanya oleh kerana itu, kerajaan telah memperkenalkan pelbagai dasar dan inisiatif termasuk Pakej Rangsangan Ekonomi dan yang terbaharu, Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI) bagi memelihara kebajikan rakyat dan menyokong kelangsungan perniagaan.

Dalam pada itu, Perdana Menteri menyedari sambutan Tahun Baharu Cina tidak lengkap tanpa tradisi pemberian angpau untuk anak-anak kecil serta saudara mara yang belum berkahwin, serta amalan makan malam bersama ahli keluarga yang turut menjadi kebiasaan semasa sambutan Tahun Baharu Cina.

Bagaimanapun, katanya memandangkan risiko jangkitan Covid-19 masih wujud dalam komuniti, maka adalah wajar untuk setiap pihak menyesuaikan amalan dan tradisi sambutan perayaan dalam bentuk yang lebih inovatif iaitu menerusi teknologi digital seperti aplikasi e-Angpau.

“Walaupun pertemuan secara fizikal adalah terhad buat masa ini, namun teknologi yang ada pada hari ini harus dimanfaatkan untuk mengeratkan silaturrahim antara satu sama lain.

Saya berharap saudara dan saudari tetap dapat meraikan perayaan Tahun Baharu Cina bersama keluarga tersayang…ingatlah untuk mematuhi segala garis panduan atau prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan pada setiap masa,” katanya.

Muhyiddin berkata Malaysia ibarat kepelbagaian ramuan dan rasa dalam hidangan ‘yee sang’ yang penuh berwarna-warni, yang sememangnya terkenal dengan masyarakat majmuk yang menyambut perayaan yang berbeza setiap tahun.

“Inilah yang menjadi kebanggaan kita sebagai rakyat Malaysia di mana kita dapat meraikan bersama-sama setiap perayaan dengan penuh semangat perpaduan dan keharmonian.

Tahun Baharu Cina adalah mengenai bersatu hati, keamanan, kemakmuran dan kegembiraan … saya berdoa agar konsep ini mengatasi umur, bangsa, agama dan budaya dan saya percaya Tahun Baharu Cina akan membawa harapan baharu dan pencapaian baharu,” katanya.

Katanya sambutan perayaan melalui program Majlis Rumah Terbuka anjuran Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya yang diadakan pada setiap tahun sememangnya menjadi antara wadah perpaduan masyarakat majmuk Malaysia.

“Ia bukan saja menghangatkan kemeriahan sambutan perayaan berbilang bangsa, malah turut dapat menzahirkan rasa saling menghormati dan menghargai perbezaan kaum dan budaya di kalangan masyarakat,” katanya. – BERNAMA

- Advertisement -