JAM: 30 tahun ‘Beramal Kerana Allah’

BULAN Februari tahun ini menjadi detik sejarah buat seluruh anggota Jabatan Amal Malaysia (JAM) bagi meraikan sambutan ulang tahun ke-30 penubuhannya di dalam persada gerak kerja kebajikan, khidmat masyarakat dan kemanusiaan sama ada dalam negara mahupun luar negara.

Dalam tempoh tiga dekad ini, sudah pasti pelbagai ujian sama ada kepayahan perit maung perjuangan atau kesenangan sekalipun tidak pernah lekang dalam perjalanan tugasan mereka sebagai sebuah pasukan beruniform di bawah Dewan Pemuda PAS Malaysia.

Dari sebuah Unit di bawah Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan Pemuda PAS sehingga dinaik taraf sebagai sebuah Jabatan, kini JAM menjadi antara agensi di bawah Parti Islam Se-Malaysia (PAS) yang mempunyai organisasi yang kuat dan mampu berdiri dengan kekuatan tersendiri.

Advertisement

Pernah diberi jolokan sebagai ‘Tentera Merah’ ketika membantu mangsa banjir di Johor sekitar tahun 2006, namun ungkapan tentera itu dilihat mampu disalah tafsir sebagai pasukan militan dan seumpanya maka kepimpinan Amal terus melarang penggunaan nama jolokan tersebut dan lebih senang dengan nama lain seperti ‘Semut Merah’.

Baik tohmahan dan fitnah mahupun pujian dan sanjungan, anggota Amal tidak pernah leka dalam melaksanakan tanggugjawab mereka sehingga hari ini. Jika dahulu mereka dikenali sebagai penjaga jalan, setiap kali program PAS ada sahaja susuk tubuh berbaju maroon ini mengawal trafik dan menysusun baik tempat letak kenderaan. Baik dari sekecil program cawangan sehingga sebesar program seperti Fastaqim dan muktamar mereka tetap teguh melaksanakan tugas tanpa mengira panas terik dan hujan lebat.

Kini keberadaan mereka bukan sahaja dirasai oleh ahli PAS malah turut dirasai oleh masyarakat tidak kira bangsa dan agama. Boleh dikatakan asal berlaku sahaja bencana alam di dalam negara ini sudah pasti mereka akan kehadapan membantu rakyat yang memerlukan.

Sebut sahaja Unit Amal atau Jabatan Amal mereka sudah terbayang pemuda berbaju maroon yang tangkas membantu mengawal keselamatan, menyelamatkan mangsa, memotong pokok tumbang, memasang atap, mencuci rumah mangsa banjir malah ada yang memberi rawatan kecemasan awal kepada mangsa kemalangan, tidak kurang juga gambaran kehadiran mereka menyampaikan barang bantuan dan sumbangan kepada mereka yang memerlukan dan terbaru kepada frontliner negara.

Menyingkap peristiwa runtuhan khemah ketika Muktamar 2017 di Kota Sarang Semut, Kedah, anggota Amal diperlihatkan ketangkasan mereka dalam menyelamatkan mangsa runtuhan. Ketika itu anggota Unit Madik JAM bertindak tangkas dalam memberi rawatan awal, Unit Trafik pula mengawal kesesakan keluar masuk kenderaan memastikan ambulans dapat sampai ke lokasi runtuhan dan anggota lain memainkan peranan mereka bagaikan sudah biasa berhadapan dengan bencana.

Begitupun ia tidak terhenti setakat itu sahaja, kepakaran anggota terus mendapat pengiktirafan dari agensi kerajaan terutama Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Kesihatan Negeri, Hospital, Pusat Darah Negara dan sebagainya. Anggota JAM sering dipanggil untuk membatu dalam misi mencari dan menyelamat, pernah bersama membantu pasukan madik dalam operasi pencemaran udara di Sungai Kim Kim dan banyak lagi.

Ketika ganguan bekalan air, mereka turun menghantar air bersih kepada penduduk, malah sepanjang pandemik dan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mereka tidak menang tangan menyampaikan bantuan dan sumbangan makanan, PPE dan pelbagai lagi kepada frontliner negara. Terbaru JAM mendapat publisiti yang luas dari media masa dan elektronik dan respons yang baik dari masyarakat apabila menjayakan Program Derma Darah ketika Tabung Darah Negara dalam keadaan kritikan di seluruh negara.

Jika hendak disebut semua peristiwa sudah pasti penulisan ini akan menjadi panjang berjela, namun sumbangan dan jasa para sukarelawan ini tidak dapat dinafikan lagi, malah mereka melaksakan kerja-kerja kebajikan tersebut tanpa sebarang upah dan ganjaran dunia. Begitulah penerapan nilai jati diri dan doktrin yang telah meresap dalam setiap tubuh anggota pasukan beruniform maroon ini.

Semoga sambutan tiga dekad penubuhan JAM mampu memberi satu suntikan dan semangat baharu kepada seluruh anggota Amal untuk menjadi penyambung mata rantai perjuangan mereka yang terdahulu membugar jalan untuk kita terus berbakti tanpa sempadan. – HARAKAHDAILY 20/2/2021