Tebing runtuh: Rumah pusaka 100 tahun tinggal kenangan

- Advertisement -

PASIR MAS: Rumah pusaka berusia lebih 100 tahun di Kampung Pohon Celagi di sini, kini hanya tinggal kenangan buat pemiliknya, Wan Khadijah Wan Ibrahim apabila rumah itu roboh menyembah bumi, Rabu lepas.

Wanita berusia 77 tahun itu merupakan pemilik kediaman pertama yang musnah dalam kejadian tebing runtuh di Sungai Kelantan berhampiran Dataran Air Muleh dekat kampung berkenaan.

“Rumah nenek boleh dikatakan tempat kelahiran keluarga nenek daripada arwah mak, kelima-lima anak malah cucu-cucu turut membesar di rumah pusaka ini. Sejak dilahirkan, nenek membesar di sini namun benda sudah berlaku jadi kita reda dengan ketentuan Allah.

- Advertisement -

“Sekarang hanya tinggal kenangan sebab hampir 80 peratus rumah termasuk ruang tamu dan dapur musnah dengan banyak perabot rosak,” katanya ketika ditemui Bernama di kampung tersebut, hari ini.

Bercerita lanjut, Wan Khadijah yang menetap bersama anak perempuan sulungnya yang berusia 59 tahun berkata rumahnya runtuh kira-kira 9.30 pagi, pada hari kejadian.

Beliau menyedari kediamannya berdepan bahaya selepas terdengar bunyi dentuman kuat apabila benteng sungai yang terletak hampir 50 meter di kawasan tanah rendah dari rumahnya itu runtuh kira-kira 5.30 pagi.

“Masa itu, kami bangun bersiap untuk solat Subuh dan tiba-tiba terdengar bunyi dentuman kuat dekat kawasan tebing sungai. Kemudian, kami nampak benteng sungai dekat kawasan di bawah rumah sudah runtuh.

“Selepas itu, kami bertindak keluar dari rumah, terus menuju ke rumah jiran berdekatan dan menumpang sementara sebab bimbang keselamatan kami. Alhamdulillah nenek dan anak terselamat daripada sebarang perkara tidak diingini,” katanya yang kini menetap sementara di rumah anak keempatnya di Kampung Kubang Panjang Lemal, di sini.

Ditanya mengenai bantuan yang diperlukannya, Wan Khadijah berharap pihak kerajaan dapat memberi sumbangan sewajarnya kepada penduduk yang terjejas selain menyelesaikan perkara itu secepat mungkin termasuk penyelesaian jangka panjang supaya kejadian sama tidak berulang.

Semalam, media melaporkan sebanyak empat rumah musnah susulan kejadian tebing runtuh di kampung berkenaan dan kesemua 45 keluarga merangkumi 98 penduduk yang mendiami kawasan berkenaan telah dipindahkan ke kawasan yang selamat.

Sementara itu, seorang lagi penduduk kampung, Suziyatul Akma Zakaria, 37, pula berharap pihak berkaitan mempertimbang untuk menyediakan penempatan sementara yang lebih selesa kepada penduduk yang terjejas.

“Sememangnya pihak berkuasa telah menyediakan pusat pemindahan sementara di Dewan Serbaguna dekat pekan Pasir Mas tetapi ramai penduduk tidak duduk di situ sebab keadaan yang kurang selesa malah turut bimbang dengan pandemik Covid-19.

“Jadi, kebanyakan penduduk menyewa sementara rumah dan ada yang menumpang di rumah saudara-mara sebab lebih selesa serta mudah menguruskan hal peribadi termasuk anak-anak yang menjalani kelas secara dalam talian dan sebagainya,” katanya yang masih tinggal bersama lima ahli keluarganya di rumah yang terletak kurang 100 meter dari kawasan tebing sungai berkenaan. – BERNAMA

- Advertisement -