Sekolah dibuka Mac, ibu bapa disaran patuhi SOP

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) hari ini mengumumkan pembukaan semula sekolah dalam dua fasa.

Menterinya, Dato’ Dr Radzin Jidin berkata, sekolah kebangsaan akan dibuka bermula 1 Mac depan melibatkan murid sekolah rendah Tahun 1 dan 2 serta Pra sekolah. Manakala, murid Tahun 3, 4, 5 dan 6 pula akan hadir ke sekolah bermula pada 8 Mac 2021.

Katanya, pengumuman pembukaan sesi persekolahan itu akan berkuat kuasa di seluruh negara.

- Advertisement -

Tambah beliau, keputusan itu dicapai agar murid Pra Sekolah, Tahun 1 dan 2 akan ke sekolah terlebih dahulu untuk memberikan ruang kepada guru-guru bagi membiasakan mereka dengan prosedur operasi standard (SOP) di sekolah.

Sehubungan dengan itu, beliau memaklumkan pelajar sekolah menengah akan memulakan sesi persekolahan pada 4 April ini bagi Kumpulan A iaitu Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Manakala, bagi sekolah-sekolah di negeri lain akan memulakan sekolah pada 5 April ini.

“Semua pelajar sekolah menengah akan memulakan persekolahan selepas cuti pertengahan penggal pada 26 atau 27 Mac hingga 4 April ini,” katanya pada sidang media yang diadakan secara langsung menerusi siaran televisyen, hari ini.

Mengulas lanjut, Radzi berkata, langkah itu bagi memastikan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berjalan lancar pada Isnin depan

“Peperiksaan SPM kali ini amat berbeza kaedah pelaksanaannya berbanding tahun sebelum ini, SOP untuk SPM adalah amat terperinci dan ketat bagi memastikan calon-calon SPM dapat menduduki peperiksaan dalam keadaan tenang dan selamat.

“Untuk SPM kali ini, bukan sahaja dewan peperiksaan perlu disediakan tapi kita juga menyediakan bilik altenatif sekiranya berlalu apa-apa melibatkan calon yang boleh digunakan,” katanya.

Bagi memastikan tiada sebarang jangkitan kepada mana-mana calon, mereka yang menunjukkan gejala Covid-19 akan diasingkan dan disediakan bilik khas kepada pelajar terbabit.

Begitu juga calon yang mempunyai dua kertas sehari, mereka juga akan ditempatkan dalam bilik transit.

Selain itu, KPM merayu terhadap ibu bapa bagi memastikan prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi sewaktu murid berada di luar sekolah.

Mohd Radzi berkata, cabaran utama dihadapi KPM adalah ketika penyuraian murid selepas tamat sesi persekolahan dengan ramai ibu bapa menunggu anak di luar sekolah, sekali gus menyebabkan masalah penjarakan fizikal.

Justeru itu, pihaknya sudah mengesyorkan kepada sekolah berhubung kaedah terbaik bagi memastikan penyuraian itu dapat dilaksanakan dengan lancar dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

“Bagaimanapun, Kementerian Pendidikan ingin memohon jasa baik ibu bapa serta kepimpinan masyarakat untuk sama-sama mendukung usaha ini supaya SOP mesti dipatuhi di dalam dan luar sekolah,” kata Radzi lagi. – HARAKAHDAILY 19/2/2021

- Advertisement -