Ragui vaksin halal perbuatan tidak Islamik

Foto hiasan.
- Advertisement -

SEDAR atau tidak, sudah lebih setahun kita berperang dengan wabak Covid-19. Pandemik terbabit menjangkiti 60 juta manusia dan meragut 1.4 juta nyawa.

Tiada tanda-tanda yang virus SARS-COV2, penyebab Covid-19 sudah semakin lemah, sebaliknya kadar jangkitan semakin meningkat saban hari.

Di sebalik usaha berterusan pakar perubatan dan saintis untuk mencari ubat dan penawar farmaseutikal yang berkesan, SARS-COV2 semakin rakus.

Tidak menghairankan jika perhatian seluruh dunia kini tertumpu kepada vaksin sebagai senjata untuk melemahkan virus terbabit.

- Advertisement -

Menurut pakar perubatan Dr RR Ramli, terdapat sejumlah 48 calon vaksin yang berada di pelbagai peringkat kajian klinikal dan hampir 164 vaksin masih lagi peringkat pra-klinikal.

Beliau berkata, antara pilihan vaksin yang menjadi pilihan sekarang diusahakan BioNtech bersama Pfizer, Sinovac, Moderna dan juga Oxford-AstraZeneca.

Katanya, vaksin-vaksin terbabit berada di peringkat ketiga ujian klinikal dan didapati mempunyai tahap keberkesanan dan keselamatan yang tinggi.

Malaysia bakal memulakan proses vaksinasi kepada rakyat minggu hadapan.

Di sebalik keghairahan itu adakah kita bersedia untuk mengambil langkah berani menyakini sistem perubatan moden, dan menyerah lengan untuk disuntik vaksin?

“Telah terbukti secara saintifik, vaksin yang diusahakan syarikat farmaseutikal ulung dunia dengan kerjasama saintis dan pakar perubatan adalah amat selamat.

“Ia tidak membawa mudarat besar kepada kesihatan penerima vaksin tersebut.
Tahap keselamatan vaksin terbabit antara 70 hingga 94.5 peratus, menjadikan ia antara yang paling selamat di dunia,” ujarnya ketika dihubungi.

Tentunya ianya bukan racun biarpun sikap sesetengah pihak cuba menidakkan keputusan kajian klinikal yang dikawal selia dengan amat ketat.

Isunya adakah mereka yang menentang arus menggunakan maklumat yang bersifat anekdotal, spekulatif, emosional dan tidak berpaksikan kepada logik akal.

Namun harus diingat ketika kita berdepan dengan ‘darurat kesihatan awam’, perkara utama ialah mencari penawar yang akan membawa kebaikan kepada rakyat.

Memang ada desakan untuk menghasilkan vaksin yang 100 peratus halal, namun pada masa kini pilihan itu belum ada.

Dr RR Ramli berkata, membiarkan rakyat dan komuniti terdedah bahaya Covid hanya kerana vaksin diragui halal adalah perbuatan tidak Islamik serta membuka ruang kepada masyarakat dunia untuk memandang serong.

Sedangkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan agensi berkaitan secara proaktif menyokong dan memainkan peranan melawan pandemik.

Namun beliau juga bimbang sekiranya vaksin-vaksin ini diberi kelulusan dipasarkan secara meluas akan timbul pula isu bekalan.

Sebagai contoh, Kesatuan Eropah (EU) sudah menempah sebanyak 300 juta unit vaksin daripada Pfizer/BioNTech dan Oxford/AstraZeneca, namun syarikat itu mampu mengeluarkan 200 juta unit vaksin pada akhir 2020.

Pengeluaran dijangka meningkat pada suku pertama tahun 2021. Permintaan vaksin datang daripada seluruh dunia untuk populasi hampir 7.5 bilion.

“Tentunya akan terdapat saingan yang sengit untuk mendapatkan bekalan vaksin-vaksin ini,” katanya yang juga Exco Pemuda Pusat Dewan Pemuda IKATAN Malaysia (DPIM).

Beliau juga bersyukur kerana Malaysia berjaya mendapatkan sejumlah vaksin untuk kegunaan dalam negara melalui tiga fasa.

Namun begitu katanya, kita tidak boleh ambil mudah tentang protokol penyimpanan vaksin. Vaksin dikhuatiri rosak dan boleh membawa kesan sampingan yang bahaya jika terdedah kepada suhu tropika di Malaysia.

Laporan menyebut vaksin ini perlu disimpan dalam suhu minus 70 celcius. – HARAKAHDAILY 19/2/2021

- Advertisement -