Negara lebih sejahtera tanpa judi

Senator Ustazah Nuridah Mohd Salleh (tengah).
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Alasan aktiviti perjudian menambahkan pendapatan negara adalah sesuatu yang tidak wajar dipertahankan, kata Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM), Senator Ustazah Nuridah Mohd Salleh.

Menurut beliau, arak dan judi bukan sahaja punca kemusnahan banyak insitusi keluarga dan masyarakat, bahkan judi mampu menyebabkan ketagihan kepada pemainnya sehingga menyebabkan mereka hilang pertimbangan dan kewarasan.

- Advertisement -

Apatah lagi, judi juga berkembang pesat secara dalam talian seiringin dengan kemajuan hari ini sehingga menyebabkan penambahan bilangan penjudi tegar dalam masyarakat kini.

Justeru itu, beliau mewakili DMPM mencadangkan agar kerajaan berusaha membanteras kegiatan judi secara beransur-ansur sehingga akhirnya Malaysia berjaya bebas daripada aktiviti itu.

Beliau turut menyarankan agar kerajaan berusaha mencari punca pendapatan negara dengan kaedah lain dengan cara yang lebih baik dan bermaruah.

DMPM dalam masa sama turut menyuarakan bantahan berhubung tindakan kerajaan yang meningkatkan kekerapan cabutan khas ramalan nombor 4 digit daripada lapan kali setahun sehingga 22 kali tahun ini.

Tambah Nuridah, tindakan ini bertentangan dengan nilai-nilai murni yang ingin diserapkan di dalam jiwa rakyat Malaysia tidak mengira kaum dan agama.

Malah, ia dilihat seolah-olah bagai menggalakkan rakyat menyertai kegiatan judi, ujarnya.

“Bantahan yang asalnya disuarakan oleh Senator Liew Chin Tong dari DAP, biarpun kelihatan canggung kerana selama ini DAP tidak pernah berminat untuk mengharamkan judi, namun (ia) merupakan sesuatu yang harus diteliti oleh pihak kerajaan.

“Alasan mahu menambah pendapatan negara adalah suatu yang tidak wajar dipertahankan,” katanya dalam satu kenyataan media pada Jumaat.

Terdahulu, Chin Tong dalam satu kenyataannya mendakwa bahawa Kerajaan Perikatan Nasional (PN) telah meningkatkan kekerapan cabutan khas ramalan nombor 4 digit daripada lapan kali setahun pada lepas kepada 22 kali setahun pada tahun ini.

Kata Chin Tong, tindakan itu sebenarnya mengembalikan semula jumlah cabutan khas seperti zaman kerajaan BN sebelum ini iaitu 22 kali setahun. – HARAKAHDAILY 19/2/2021

- Advertisement -