Ganti paip lama di Kelantan perlu kerjasama syarikat berkelayakan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerjasama daripada syarikat berkelayakan diperlukan bagi melaksanakan projek penggantian paip lama dan usang di seluruh negeri Kelantan, kata Menteri Alam Sekitar dan Air (KASA), Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Tuan Ibrahim berkata, kerjasama tersebut adalah bagi menjayakan perancangan kerajaan negeri menyelesaikan isu gangguan bekalan air, kualiti air serta tekanan air rendah yang dihadapi rakyat Kelantan sejak puluhan tahun.

- Advertisement -

“Saya dapati punca berlakunya masalah ini adalah keadaan paip sedia ada yang telah lama iaitu berusia lebih 40 tahun.

“Ia perlu diganti walaupun memerlukan kos yang besar. Ini kerana apabila berlaku kebocoran, jika dibaiki pam atau loji pembersihan sekalipun tidak bermakna sekiranya paip lama tidak diganti,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi siaran langsung di Faceebook bagi episod pertama Green Talk bertajuk Kehidupan Lestari Adalah Komitmen Seluruh Rakyat Malaysia terbitan Malaysian Green Technologi and Climate Change Centre (MGTC).

Menurut Tuan Ibrahim, projek penggantian paip lama itu termasuk dalam perancangan membabitkan peruntukan RM1.7 bilion yang dimohon kerajaan negeri melalui geran daripada kerajaan pusat.

“Saya telah berbincang dengan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan berharap beliau dapat mempertimbang permohonan tersebut,” katanya yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian.

Untuk rekod, kira-kira 4,000 kilometer (km) daripada lebih 8,000km paip air di Kelantan adalah paip lama yang perlu ditukar kerana berhadapan risiko mudah bocor.

Dalam perkembangan lain, beliau turut memaklumkan bahawa pihaknya dalam perancangan memperluas Projek Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS) sebagai alternatif bagi sumber air mentah jika terdapat gangguan pada saluran utama sungai.

Katanya, ketika ini TAPS hanya dibangunkan di Selangor. – BERNAMA

- Advertisement -