Dakwaan PH parti bersih hanya retorik

KUALA LUMPUR: Dewan Muslimat PAS Malaysia menyifatkan kenyataan-kenyataan pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang mendakwa parti mereka bersih hanya retorik semata-mata.

Advertisement

Ketuanya, Senator Ustazah Nuridah ketika dihubungi Harakahdaily hari ini berkata, ini kerana beberapa kes yang sedang dibicarakan melibatkan pemimpin PH digugurkan Peguam Negara pada ketika itu.

Berikutan kes rasuah melibatkan pegawai kanan bekas menteri, MA Thinagaran, Nuridah berkata jika Thinagaran disabitkan bersalah, keadilan perlu ditegakkan dengan undang-undang di negara ini.

Terdahulu, MA Tinagaran yang juga Timbalan Pengerusi Pakatan Rakyat (PKR) Perak telah ditahan bersama-sama dua pengarah syarikat dalam operasi oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Ipoh pada Selasa berhubung kes rasuah bernilai jutaan ringgit melibatkan kementerian itu semasa pentadbiran PH.

Walau bagaimanapun, sebelum ini sebuah media melaporkan Xavier Jayakumar yang juga merupakan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) menafikan MA Thinagaran bukan pembantunya tetapi kenalan rapat keluarganya.

Nuridah yang juga merupakan Ahli Dewan Negara menegaskan bahawa bagi membanteras kegiatan rasuah dalam kalangan ahli politik perlu dilakukan secara adil dan telus tanpa melibatkan sebarang agenda.

“Sebenarnya untuk memerangi rasuah ini mestilah dibuat dengan bersungguh-sungguh dan bukannya hanya pendakwaan terpilih yang melibatkan kepentingan politik sahaja,” ujarnya.

Sehubungan dengan itu, pihaknya mengucapkan syabas kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan mengharapkan agar siasatan dijalankan dengan telus.

Sebelum ini, sebuah portal melaporkan SPRM telah merampas sejumlah RM1.2 juta milik Thinagaran yang juga pegawai tugas-tugas khas kepada Xavier.

Akaun bank syarikat miliknya yang menyimpan sejumlah RM77 juta turut dibekukan.

Laporan itu juga mendakwa, kereta mewah yang dirampas adalah kereta yang digunakan Xavier sebagai kereta rasminya semasa menjadi menteri.

Xavier yang juga Naib Presiden PKR dan Tinagaran merupakan antara yang dianugerahkan darjah kebesaran yang membawa gelaran Dato’ daripada Istana Kelantan pada 2019. – HARAKAHDAILY 19/2/2021