Agresif banteras jenayah di sebalik alam maya

- Advertisement -

PEMBONGKARAN media di sebalik Sugarbook menunjukkan wujudnya kegiatan berunsurkan atau menjurus kepada jenayah yang terselindung menerusi aplikasi. Sisi gelap dunia maya ini hakikatnya menuntut pihak berkuasa untuk lebih proaktif menanganinya serta meminda perundangan lebih tegas.

Ini amat perlu dibimbangi kerana ia bermakna akses kepada jenayah telah menjadi semudah capaian di hujung jari. Di mana manipulasi dan eksploitasi licik pelaku jenayah ini terbuka mudah memangsakan atau menjebakkan banyak pihak sekali gus menggugat ketenteraman awam.

- Advertisement -

Kemungkinan amat sukar disangkal, menerusi jenayah yang dijalankan, ia dilindungi oleh pihak berkepentingan termasuk Gangsterisme. Malah, ia begitu mudah menembusi sepantasnya kepada rangkaian Antarabangsa di seluruh dunia yang berhubungan dengan pihak pengganas atau kumpulan bersenjata.

Maka dunia maya termasuk seluruh rantaiannya terutama media sosial yang menjadi kegunaan awam memerlukan pemantauan ketat dan berkesan pihak berkuasa. Identifikasi lebih kritikal dalam pengecaman aspek-aspek jenayah dengan memperalat dunia siber perlukan pemahaman yang ‘up to date’.

Kemaskini sedemikian perlu untuk mengenal pasti kerencaman dan lincahnya pergerakan dunia jenayah atas talian yang tidak ubah umpama ‘api dalam sekam’ ini. Lebih-lebih lagi norma baharu dunia ekoran pandemik COVID-19 menjadikan banyak urusan awam dan negara berpindah secara atas talian.

Isu Sugarbook bahkan laporan yang banyak terhadap kegiatan penipuan atau ‘scammer’ dengan membabitkan kerugian wang sangat besar dialami mangsa harus menjadi ‘siren kecemasan’ kepada semua. Malah, pemerdayaan yang dilaporkan meluas kepada urusan perniagaan atas talian juga menjadi aspek perlu dicelikkan atau menjadi pendidikan kepenggunaan ke atas rakyat.

Ketika sama dalang dalam kalangan pihak berkuasa yang bersekongkol dengan penjenayah juga wajib diatasi. Jangan kelak, pada inisiatif besar dilaksanakan kerajaan ke atas pendigitalan dalam segenap hal ehwal rakyat dan negara, pihak penjenayah lebih beruntung kerana memperalatkan peluang dan ruang. Untuk itu ia mesti dicegah dan dibanteras lumat serta agresif dari sekarang.

“Islam Memperkukuh Perpaduan”

ISZUREE IBRAHIM
Setiausaha
PAS Negeri Pulau Pinang – HARAKAHDAILY 19/2/2021

- Advertisement -