Vaksin: KAWAT sahut cadangan MPI

- Advertisement -

KELAB Wartawan Media Terengganu (KAWAT) menyokong penuh pandangan Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaaffar dan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Press Institute (MPI), Datuk Chamil Wariya bahawa, petugas media boleh dikategorikan sebagai ‘frontliners’ (barisan hadapan) selain diletakkan sebagai golongan terawal menerima suntikan vaksin Covid-19 atas faktor sifat pekerjaan mereka sebagai wartawan.

Ini selaras dengan Pelan Imunisasi Kebangsaan yang terkandung dalam tiga fasa iaitu fasa pertama membabitkan 500,000 petugas barisan hadapan yang bakal menerima suntikan vaksin pertama.

- Advertisement -

Fasa kedua, individu tergolong dalam kumpulan berisiko tinggi juga seperti pemimpin kerajaan, ahli politik dan warga media. Sebab, golongan wartawan ini sebenarnya berisiko kerana sentiasa berjumpa dengan ahli masyarakat setiap hari ketika membuat liputan berita.

Justeru, melihat kepada tugas dan tanggungjawab itu, kumpulan petugas media juga berisiko tinggi menjadi ‘spreader’ (penyebar) yang boleh menggugat keselamatan dan kesihatan rakyat umumnya.

Meskipun setakat ini belum ada lagi kluster wartawan yang positif Covid-19 tetapi langkah berjaga-jaga itu amat perlu kerana ‘gelombang’ pandemik ini belum tentu bila akan berakhirnya.

Oleh demikian, sudah sampai masa para petugas media juga dikategorikan dalam kumpulan barisan hadapan menangani Covid-19. Jika tiada wartawan dan petugas media di lapangan, sudah tentu tiada laporan berita tentang kes Covid-19 di negara ini.

Sehubungan itu, Kelab Wartawan Media Terengganu menyambut baik sebarang cadangan dan pengiktirafan terhadap warga media sebagai salah satu dari kumpulan petugas barisan hadapan dalam memerangi Covid-19.

Sekian, terima kasih.

KHAIRUL AZLAM MOHAMAD
Presiden,
Kelab Wartawan Media Terengganu (KAWAT)
15 Februari 2021 bersamaan 3 Rejab 1442H – HARAKAHDAILY 18/2/2021

- Advertisement -