Rakyat jangan terpengaruh agenda robek kerajaan PN

Shahir Adnan
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Rakyat di negara ini diminta supaya tidak mudah terpengaruh dengan pelbagai desakan dan agenda politik yang cuba merobek keutuhan kerajaan Perikatan Nasional (PN) pada hari ini.

Ketua Dewan Pemuda IKATAN Malaysia (DPIM), Shahir Adnan berkata terdapat pihak yang masih memainkan isu politik untuk meresahkan rakyat.

“Meskipun kita berada di dalam keadaan darurat Covid-19 bagi mengekang penularan penyakit ini di dalam negara kita, pelbagai pihak masih memainkan isu politik untuk meresahkan rakyat, seterusnya memberi gambaran buruk kepada pelabur asing.

- Advertisement -

“Perbuatan seperti ini adalah perbuatan mengkhianati negara sendiri,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut Shahir, selaku anak muda yang berpegang kepada penyatuan parti-parti politik, DPIM menyeru agar semua pihak bertenang dan tumpukan tenaga dan masa untuk mentadbir negara pada waktu pandemik ini.

Jelasnya, ambil iktibar daripada kejatuhan Pakatan Harapan (PH), yang sering bergaduh sesama sendiri hingga Perdana Menteri ke-7 daripada PH meletak jawatan, seterusnya meranapkan pentadbiran mereka.

“Diharapkan rakyat tidak termakan dengan propaganda jahat yang sedang berlegar-legar dengan memecahbelahkan perpaduan di kalangan parti politik kerajaan Perikatan Nasional.

“UMNO dan PAS selaku parti tunjang terbesar di negara kita, dilihat saban hari diserang dengan propaganda memecahbelahkan parti-parti ini secara dalaman atau luaran,” ujarnya.

Tegasnya, pengukuhan parti masing-masing adalah perkara utama ketika ini kerana perpecahan bakal menyebabkan malapetaka besar kepada rakyat Malaysia.

Susulan itu, DPIM turut menyeru agar semua pihak ikhlas antara satu sama lain dan tidak menyakitkan hati rakan-rakan parti komponen.

Katanya, kecelaruan politik dapat dielakkan agar pentadbiran negara dapat diurus dengan baik.

“Perpecahan antara kumpulan di dalam parti politik itu sendiri boleh meranapkan pentadbiran kerajaan. Tunjukkan keikhlasan dan jangan pentingkan matlamat peribadi.

“Kesejahteraan rakyat adalah kepentingan utama setiap pemimpin pada waktu ini,” jelas Shahir lagi. – HARAKAHDAILY 18/2/2021

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!