Penjelasan tidak hadir ke sesi FB Live ‘Bahayakah Vaksin?’

- Advertisement -

SAYA difahamkan forum Live FB berkaitan dengan vaksin bersama Persatuan Pengguna Islam Malaysia malam tadi diteruskan tanpa kehadiran dari YB Datuk Hj Ahmad Amzad Hashim dan saya sendiri sebagai panelis.

Saya sejak dari awal telah pun memaklumkan kepada pihak penganjur bahawa saya amat-amat memohon maaf kerana tidak dapat bersama dalam forum online tersebut kerana kematian bonda sahabat baik saya di kampung. Begitu juga dengan YB Datuk Haji Ahmad Amzad Hashim yang terpaksa hadiri mesyuarat tergempar pada malam tadi. 

Beliau telah pun memberitahu lebih awal kepada pihak penganjur. Namun pihak penganjur ingin meneruskan juga sesi tersebut kerana sudah pun diisytiharkan dalam FB. Cuma kami sedikit terkilan apabila pernyataan yang diberikan oleh penganjur dalam sesi itu dan komen-komen daripada netizen agak negatif. Seolah-olah kami takut untuk berdepan dengan PPIM.

- Advertisement -

Isu di sini bukannya debat untuk menang atau kalah dimalukan, atau menunjuk siapa yang lebih hebat bertutur kata dalam media sosial, tetapi kita mesti merujuk kepada fakta yang disokong oleh pelbagai pakar dalam Kementerian Kesihatan dan juga Kementerian-kementerian terlibat dalam perolehan vaksin COVID-19.

YB Khairy Jamaluddin dan YB Datuk Haji Ahmad Amzad Hashim telah pun bersemuka dengan Datuk Nadzim pada minggu lalu di Pejabat Timbalan Menteri dan menerangkan apa-apa yang menjadi kekeliruan oleh beliau. Hasil daripada pertemuan itu pun Datuk Nadzim begitu berpuas hati dan bersetuju dengan apa yang sedang dijalankan oleh kerajaan. Sehinggakan YB Khairy Jamaluddin sendiri mengisytiharkan bahawa PPIM bersama dengan kerajaan untuk terus memberi keyakinan kepada masyarakat berkaitan dengan vaksin di dalam mesyuarat Kabinet yang dijalankan.

Pagi ini saya berbincang dengan YB Datuk Haji Ahmad Amzad Hashim untuk bersemuka secara susulan dengan pihak PPIM. Beliau menegaskan bahawa beliau akan terus bertemu dengan Datuk Nadzim dan memberikan fakta-fakta yang telah pun dikemukakan oleh pakar-pakar di pihak Kementerian atas segala persoalan yang diberikan oleh Datuk Nadzim. Pihak Pejabat Timbalan Menteri MOSTI akan menilai balik soalan-soalan yang dikemukakan untuk diberikan jawapan sama ada bersemuka dengan Datuk Nazim ataupun menjawab secara bertulis. Inilah kesungguhan dan ketelusan YB Timbalan Menteri yang mewakili kerajaan. 

Kerajaan yang bersungguh-sungguh untuk memberi vaksin kepada rakyat dalam tempoh yang terdekat bukan ceduk berita ataupun fakta dari pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab. Tetapi percayalah segala usaha yang telah dan sedang dilakukan oleh kerajaan adalah semata-mata demi kebaikan rakyat. Bukan untuk memusnahkan ataupun memzalimi rakyat. Pakar-pakar yang terdapat dalam Kementerian Kesihatan dan MOSTI itu sendiri telah meneliti data-data dan laporan-laporan yang diperolehi dari pelbagai sumber termasuk sekali syarikat pengeluar dan pihak yang benar-benar berautoriti. 

Penegasan sudah berkali-kali diberikan oleh pihak yang berwajib bahawa vaksin COVID-19 itu adalah selamat, berkesan dan stabil digunakan dalam masyarakat negara kita. Mana mungkin sebuah kerajaan yang diberi amanah ini buta mata ataupun cuba menutup penipuan ataupun seumpamanya sebagaimana yang didakwa oleh pihak-pihak tertentu. Keputusan yang dibuat oleh kerajaan adalah keputusan secara kolektif, bukannya berdasarkan kepada kepentingan peribadi. Bahkan segala perolehan diaudit oleh Jabatan Audit Negara dan Jawatankuasa Kira-kira Negara yang dianggotai juga oleh pembangkang. 

Dari segi klinikal pula pengesahan keberkesanan dan keselamatan dinilai oleh pakar-pakar. Bukannya calang-calang pakar yang berada di dalam jawatankuasa di Kementerian itu. Begitu juga badan yang bertanggungjawab – National Pharmaceutical Regulatory Agency (NPRA) terdiri dari pakar-pakar yang sudah pun lama bergiat dalam penilaian dan perolehan ubat-ubatan negara termasuk vaksin. Mana mungkin ianya mempunyai agenda-agenda jahat yang sengaja dituduh oleh pihak-pihak tertentu terhadap kerajaan berkaitan dengan vaksin COVID 19. 

Saya pohon bahawa isu ini dapat diselesaikan dengan cara harmoni. Bukan untuk mencari kemenangan dalam petahnya berdebat, bukan! Tetapi kita mestilah mengemukakan dengan cara profesional dan bijaksana dalam sama-sama melandaikan wabak COVID-19 dalam negara yang tercinta ini.

DR SUHAZELI ABDULLAH
Pakar Perubatan Keluarga
Sarjana (Master of Medicine) dalam pengkhususan Perubatan Keluarga Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) – HARAKAHDAILY 18/2/2021

Berikut adalah kenyataan YB Timbalan Menteri: https://www.facebook.com/watch/?v=271049361040406

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -