Keluarga mangsa kejadian tanah runtuh diberi perhatian

- Advertisement -

ALHAMDULILLAH, saya sempat melawat ke lokasi tanah runtuh di Kg Pohon Chelagi, Pasir Mas petang semalam. Terima kasih saya rakamkan kepada semua pimpinan yang sempat hadir semalam menyantuni mangsa yang terlibat terutama kepada YAB Dato Bentara Kanan Menteri Besar Kelantan, YB Dato Haji Azami Mohd Nor, YB Dato Hajah Mumtaz Nawi dan YB Dato Haji Hanifa Ahmad. Tidak ketinggalan kepada Ketua Jajahan Pasir Mas yang hadir ke lokasi seawal jam 12:15 pagi kelmarin.

Saya telah agihkan bantuan Pusat Khidmat Parlimen Pasir Mas semalam sebanyak RM1,000 untuk setiap keluarga yang terlibat. Buat masa sekarang, sebanyak 4 buah keluarga yang mengalami kerosakan kediaman yang teruk. 11 keluarga lagi sedang berwaspada manakala keseluruhan hampir 60 rumah kediaman di sekitar lokasi kejadian juga diminta untuk sentiasa bersiap siaga untuk sebarang kemungkinan. 

- Advertisement -

Saya cadangkan kepada pihak kerajaan negeri untuk menghentikan seketika aktiviti mengorek pasir (sekiranya ada) di sekitar lokasi kejadian. Setakat ini punca yang dikenalpasti ialah kerana air sungai yang deras ketika banjir baru-baru ini, maka di lokasi kejadian merupakan tempat selekoh air sungai yang deras yang akhirnya mengakibatkan benteng yang puluhan tahun usianya ini musnah. 

Saya dimaklumkan bahawa pagi ini akan diadakan mesyuarat khas di kalangan pimpinan kerajaan negeri khusus untuk membincangkan tindakan susulan bagi menangani kejadian ini. Kepada Kerajaan Pusat saya cadangkan kepada Kementerian Alam Sekitar agar mengumumkan segera langkah dan pelan bertindak bersama sejumlah peruntukan bagi membina semula benteng yang sangat diperlukan bagi menghalang air sungai masuk ke bandar Pasir Mas setiap kali musim tengkujuh.

Dalam hal ini, saya dimaklumkan oleh YB Dato’ Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, Menteri Alam Sekitar bahawa tindakan segera akan diambil agensi berkaitan terutama Jabatan Pengairan dan Saliran.

Saya terpaksa bergegas semula bergerak ke Kuala Lumpur bagi menyelesaikan beberapa tugasan yang telah dijadualkan. Insya-Allah para pegawai saya di Pusat Khidmat akan sentiasa memantau situasi ini dari masa ke semasa. 

AHMAD FADHLI SHAARI
Ahli Parlimen Pasir Mas – HARAKAHDAILY 18/2/2021

- Advertisement -