Jawatankuasa Khas Bebas Darurat bermesyuarat hari ini

Tun Arifin Zakaria
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 mengadakan mesyuarat secara kehadiran fizikal dan sidang video hari ini.

Jawatankuasa itu dalam kenyataan memaklumkan mesyuarat yang dipengerusikan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria tersebut dihadiri kesemua 19 ahli Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 yang telah dilantik melalui perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

- Advertisement -

Mesyuarat itu telah menerima pembentangan tiga taklimat iaitu daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan berhubung pengurusan darurat, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengenai pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan serta Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkaitan status penularan Covid-19.

Menurut kenyataan itu, mesyuarat seterusnya dijadual diadakan pada 23 Februari ini.

Pada 9 Feb lepas, Pejabat Perdana Menteri mengumumkan senarai 19 individu yang dilantik menganggotai Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 dipengerusikan Arifin, berkuat kuasa serta-merta.

Jawatankuasa yang ditubuhkan di bawah Seksyen 2 Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 itu berperanan menasihati Yang di-Pertuan Agong tentang kewujudan berterusan darurat besar di Malaysia dan penamatannya.

Majlis Keselamatan Negara dan Jabatan Perdana Menteri pula akan berperanan sebagai urus setia jawatankuasa itu. – BERNAMA

- Advertisement -