Bantuan tanpa kira warna kulit – Sathiabamah

(Dari kiri) Sathiabamah, Ketua Pemuda MCA, Ketua Pemuda MCA, Dato' Nicole Wong Siaw Ting, Timbalan KPWKM, Dato' Siti Zailah, menyampaikan sumbangan kepada salah seorang penerima. Turut hadir, YDP PAS Kawasan Bangi, Shafie Ngah.
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Angka kes jangkitan Covid-19 silih berganti, adakala naik adakala turun, jika angka kes menaik Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) terpaksa dilaksanakan oleh kerajaan bagi mengurangkan impak Covid-19 kepada negara dari menjadi lebih teruk.

Kesan pandemik ini menjejaskan semua sektor, malah semakin banyak muncul kelompok masyarakat yang perlu dibantu dan diambil perhatian.

- Advertisement -

Ramai yang kehilangan punca pendapatan sejak tercetusnya pandemik ini, ada yang terpaksa mengharapkan bantuan dari kerajaan sepenuhnya, namun tidak semua dapat diutamakan.

Dengan itu, datang bersama kekuatan sokongan dari kalangan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menghulur tangan meringankan beban telah berganding bahu bersama kerajaan memastikan setiap lapisan masyarakat tidak tercicir dari mendapat bantuan.

Persatuan OKU Berdaya Hulu Langat antara NGO yang merebut peluang membuat kebajikan buat kelompok masyarakat yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

Sathiabamah a/p Batumalai adalah ahli Persatuan OKU Berdaya Hulu Langat yang terlibat menyampaikan bantuan kepada kalangan orang kurang upaya (OKU).

Baru-baru ini persatuannya telah mengadakan program ziarah Tahun Baru Cina di sekitar Seksyen 16 Bandar Baru Bangi pada 8 Februari bagi meraikan orang sakit, golongan asnaf dan OKU.

Program ini turut dihadiri Yang DiPertua PAS Kawasan Bangi, Ustaz Shafie Ngah, Timbalan Menteri di Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) Dato’ Ustazah Siti Zailah Mohd Yusoff, Jabatan Kebajikan Masyarakat Putrajaya dan Hulu Langat dan Ketua Pemuda MCA, Dato’ Nicole Wong Siaw Ting.

Mereka yang dikunjungi menerima sumbangan berbentuk wang tunai dan barangan dapur.

“NGO ini merasa amat gembira dapat turun bersama KPWKM bagi membantu mereka yang memerlukan bantuan.

“Sekurang-kurangnya mereka yang berada dalam kedukaan sedikit sebanyak terubat kerana dalam program ini Dato’ Siti Zailah mengambil peluang mendengar rintihan golongan OKU dan asnaf di sini,” ujar Sathiabamah kepada Harakah.

Sathiabamah yang juga Ketua Wanita Dewan Himpunan Pendukung PAS Kawasan Bangi berkata, gerak kerja NGOnya amat aktif sejak ia mula ditubuhkan pada tahun 2014.

Malah sejak PKP dilaksanakan, pasukannya tidak putus-putus turun menjengah golongan OKU khususnya yang memerlukan bantuan lebih-lebih lagi mereka yang kehilangan punca pendapatan.

“Saya berharap dapat terus berkhidmat kepada masyarakat, biar apa warna kulit kita, itu tidak menjadikan kita berbeza, sebaliknya menjadikan kita saling memerlukan di saat semua sedang menderita akibat pandemik Covid-19.

“Membantu mereka yang susah bukan hanya satu kebajikan semata-mata, tetapi ia mengeratkan hubungan antara kaum yang saling turun membantu mereka yang memerlukan.

“Malaysia ini sangat unik, tiada perbezaan antara kita, sebenarnya apabila ada dengar ada orang susah, kemudian tular di media sosial, mereka yang melihat, membaca apa yang ditularkan merasa simpati.

“Uniknya di Malaysia ini walaupun terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat masih boleh mengetepikan semua agenda politik bila ada dengar orang susah yang memerlukan bantuan.

“Kita boleh bersama, kerana setiap dari kita ada rasa sifat empati yang kuat, yang menyatukan kita,” kata Sathiabamah. – HARAKAHDAILY 18/2/2021

- Advertisement -