Anti vaksin, penjarakan sosial dan Habbatus Sauda’

habbatus
- Advertisement -

INSTITUT Metrik dan Penilaian Kesihatan Amerika Syarikat (IHME) meramalkan kes harian COVID-19 di Malaysia akan mencecah 20,000 kes mulai 3 Mac akan datang. (Kita berlindung dengan Allah agar ramalan itu tidak menjadi kenyataan). Data terkini menunjukkan kes positif COVID-19 di Malaysia melebihi 269 ribu, 1,005 kematian. Di seluruh dunia lebih 110 juta kes positif, 84.9 juta sembuh dan 2.43 juta orang telah mati.

Suara-suara mempertikaikan SOP, vaksin, perisytiharan Darurat, cara solat di masjid dan sebagainya semakin jelas kedengaran. Muncul di media sosial beberapa individu yang berlagak sebagai tokoh agama, doktor pakar dan lain-lain yang menghasut orang ramai agar mempertikaikan SOP, menolak penjarakan sosial di masjid dan surau, menolak keperluan vaksin, mendakwa cukup dengan menggunakan Habbatus Sauda’ dan madu sebagai rawatan COVID-19 dan lain-lain lagi. Golongan tersebut bersuara dan, dengan berani menimbulkan kekeliruan serta menambah kekalutan tanpa sebarang tidakan terhadap mereka dari pihak berkuasa.

Barangkali individu-individu berkenaan berasa mereka mempunyai ilmu, kemahiran dan maklumat yang tepat dan mencukupi mengenai COVID-19 berbanding dengan maklumat yang ada pada KKM, mufti-mufti negeri, JK Fatwa Kebangsaan, majoriti ulamak dunia serta WHO sendiri. Antara dakwaan individu berkenaan ialah COVID-19 sama sahaja dengan selesema biasa. Dakwaan kesan COVID-19 amat berbahaya, menurut mereka adalah bermotif politik dan didalangi golongan tertentu untuk menghancurkan Islam. Ada juga yang mendakwa COVID-19 memadai disekat dengan Habbatus Sauda’ dan madu sahaja. Masuk akalkah dakwaan golongan tersebut sedangkan angka kematian seluruh dunia sudah melebihi 2.36 juta? Logikkah dakwaan mereka sedangkan negara paling sengsara dengan COVID-19 ialah Amerika, India dan negara Eropah yang maju. 

- Advertisement -

Umat Islam dilarang keras dari; bercakap mengenai sesuatu tanpa maklumat tepat, melemparkan tuduhan tidak berasas, mendakwa menyaksikan perkara yang tidak disaksikan, mendakwa mendengar perkara yang tidak didengar, mendakwa tahu perkara yang tidak diketahui, berburuk sangka dan sebagainya. Larangan ini terkandung dalam ayat berikut:

وَلَا تَقْفُ مَا لَيْسَ لَكَ بِهِۦ عِلْمٌ ۚ إِنَّ ٱلسَّمْعَ وَٱلْبَصَرَ وَٱلْفُؤَادَ كُلُّ أُوْلَٰٓئِكَ كَانَ عَنْهُ مَسْـُٔولًا

“Dan janganlah kamu berkata perkara yang kamu tidak ketahui, kerana sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati itu semuanya akan dipertanggungjawabkan.”

(Isra’: 36)

Para penentang penjarakan dan pemakaian pelitup muka sewaktu solat berjamaah seharusnya menyedari bahawa hampir keseluruhan masjid dan surau di dunia menerima amalan tersebut sewaktu COVID-19 melanda. Ulamak Muktabar baik di Mesir, Makkah, Madinah, Syria dan lain-lain tidak menyuarakan bantahan mereka. Mereka tidak berniat untuk mencanggahi Sunnah Nabi S.A.W. Penjarakan dan pemakaian pelitup muka ketika Darurat itu sendiri selaras dengan Maqasid Syariah bagi memelihara agama dan nyawa secara serentak. Melaksanakan solat berjamaah sedaya mungkin meskipun terpaksa menjarakkannya. Itu lebih baik dari terus meninggalkannya. Pada asalnya merapatkan saf banyak fadzilatnya, tetapi sewaktu COVID-19 melanda merapatkan saf akan menimbulkan bahaya yang amat besar. Kaedah Fiqh Aulawiyyat menegaskan; apabila bertembung keburukan dan kebaikan maka ‘Menghindarkan mudarat hendaklah diutamakan dari mendapatkan manfaat’. Lagipun sejak asal lagi; hukum solat jamaah berjarak itu tetap sah. Menjarakkan saf bukannya perkara yang membatalkan solat dan bukan syarat sah solat berjamaah. Ia adalah fadhilat dan sunnah. Hanya ustaz yang dangkal ilmu dan maklumat sahaja yang menentang. Amat dibimbangi fatwa atau pandangan salah mereka menyebabkan nyawa terkorban sebagaimana kisah Sahabat Nabi mewajibkan mandi hadas kepada Sahabat lain yang cedera parah di kepala sedangkan ia boleh diganti dengan tayammum. Tambahan pula pandangan salah mereka boleh menimbulkan perpecahan dan keraguan dalam kalangan umat Islam.

Berkenaan dengan Habbatus Sauda’ dan madu pula, penulis yakin dengan nilai perubatan pada dua unsur berkenaan sebagaimana yang termaktub dalam Hadis Sahih Bukhari dan Muslim. Namun demikian, cara penggunaan yang tepat sehingga pasti menyembuhkan apabila digunakan tidak dinyatakan oleh al-Quran atau Sunnah secara terperinci. Terserahlah kepada pakar perubatan Islam membuat penyelidikan saintifik mengenai cara menggunakannya seperti kuantiti tertentu, campuran bahan lain yang tertentu, cara memprosesnya, waktu mengambilnya dan lain-lain, sesuai dengan penyakit yang dihidapi. Imam Muslim meriwayatkan sabda Nabi S.A.W:

لكل داء دوأ  فإذا أصيب دوأ الداء برأ باءذن الله

“Setiap penyakit ada ubatnya. Apabila kena ubat dengan penyakitnya, sembuhlah ia dengan izin Allah.”

Ulamak terkemuka seperti Ibnu Hajar al-Asqalani berpandangan Habbatus Sauda itu penawar kepada penyakit yang berpunca dari sejuk sahaja. Jika perpunca dari panas Ia tidak menyembuhkan. Selain itu berlaku perbincangan berkaitan sabda Nabi S.A.W itu berdasarkan wahyukah atau pengalaman Baginda? Baginda pernah bersabda bermaksud:

“Kamu lebih tahu mengenai urusan duniamu”

Hadis tersebut berkaitan dengan larangan mengahwinkan pokok kurma yang telah ditarik balik oleh Baginda. Oleh itu, ilmuan agama yang perlu berhati-hati memberi komen berkaitan bidang lain seperti perubatan yang mereka sendiri tidak cukup ilmu dan kepakaran mengenainya. Jika ada pun ilmu dan kepakaran mereka ia amat terbatas dan tidak mencakupi semua perkara.

“Dan tidaklah diberikan ilmu kepada mereka melainkan sedikit.” 

(Isra’: 85)

Adapun penggunaan vaksin telah dibuktikan secara saintifik keberkesanannya mengawal penyakit seperti; Hepatitis B, Haemophilus Influenza Type b, Campak, Beguk, dan Rubela. Ulamak Muktabar seluruh dunia amnya dan JK Fatwa Kebangsaan khususnya telah mengharuskan penggunaan vaksin berkenaan. Contohnya Muzakarah JK Fatwa Kebangsaan kali ke 21 1988 mengharuskan penggunaan vaksin Rubela, kali ke 22 1988 mengharuskan vaksin Hepatitis B, kali ke 24 1989 mengharuskan vaksin Campak, Tibi, Batuk Kokol, Dipteria, Tetanus dan Polio. 

Adalah diyakini sekurang-kurangnya vaksin COVID-19 berkesan mengawal 95 peratus penularan wabak tersebut. Jenis vaksin yang akan digunakan di Malaysia bukan dari bahan yang haram seperti khinzir yang amat jijik pada pandangan orang Islam. Oleh itu janganlah kita meragui hukum harus menggunakannya. Andai kata ia dari bahan yang diharamkan sekalipun, hukum mengambilnya ketika Darurat dan tiada pilihan tetap diharuskan. Ibarat orang yang keputusan makanan dan tidak boleh meneruskan kehidupan, diharuskan ia memakan bangkai, hatta khinzir sekalipun jika tiada pilihan lain. Sila rujuk firman Allah surah al-Baqarah 173. Ulamak Fikah Islami sepakat menerima kaedah;

الضرورة تبيح الحظورات

“Darurat mengharuskan perkara yang dilarang.”

Keharusan tersebut juga selaras dengan tuntutan Maqasid Syariah bagi memelihara nyawa. Setiap individu Muslim wajib menjaga nyawanya dari bahaya. Pemerintah pula berkewajipan menjaga nyawa setiap rakyatnya dari bahaya yang mengancam. Berdasarkan pendapat pakar perubatan, pengambilan vaksin adalah satu cara utama mengawal penularan wabak COVID-19 yang berbahaya itu. Oleh itu saranan pemerintah wajiblah dipatuhi.

Golongan anti vaksin yang muncul di media sosial umumnya bukanlah terdiri dari golongan pakar di bidang perubatan atau pengawalan penyakit berjangkit berkenaan. Antaranya dari kalangan agamawan, ahli perubatan alternatif yang mungkin mempunyai kepentingan tertentu, bidang-bidang lain yang tiada kaitan langsung dengan frontliners yang berhempas pulas memerangi wabak berkenaan. Golongan anti vaksin adalah golongan yang tidak bertanggunjawab terhadap kematian hampir 1,000 orang di Malaysia dan 2.43 juta di seluruh dunia. Selain itu ramai lagi yang sedang koma, memerlukan alat bantuan pernafasan, alternator dan sebagainya. Mampukah golongan anti vaksin menyelesaikan masalah 107 juta kes COVID-19 di seluruh dunia. Sungguh tidak masuk akal dakwaan mereka bahawa COVID-19 memadai diselesaikan seluruhnya dengan Habbatus Sauda, madu, dan air kelapa sahaja sedangkan mereka sendiri tidak berbuat sesuatu yang selain bersuara menentang.

Larangan bercakap sesuatu tanpa maklumat, kemahiran dan ilmu pengetahuan yang tepat seperti yang dinyatakan ayat 36 surah Isra’ yang lalu amat relevan sepanjang zaman. Sewaktu wabak COVID-19 melanda dunia ini, ucapan, fatwa, pandangan, kritikan atau bantahan mereka boleh mengancam jutaan nyawa ibarat mencurahkan minyak petrol pada api yang sedang menyala. Alangkah besarnya dosa perbuatan tersebut sedangkan membunuh seorang Mukmin pun ibarat membunuh seluruh seluruh manusia di dunia ini.

Rujuk Surah al-Maidah ayat 32. Semoga kita orang awam tidak terpengaruh dengan dakyah golongan tersebut. Marilah kita mematuhi dan memberikan kepercayaan kepada arahan pihak berwibawa dan bertanggungjawab seperti KKM, Mufti-mufti negeri, JK Fatwa Kebangsaan dan Negeri membuat keputusan dasar berkenaan. Penulisan ini semata-mata. pandangan umum penulis dan bukannya fatwa. 

S.F. DATO’ ASAD AWANG 
Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak – HARAKAHDAILY 15/1/2021

Sumber asal: https://www.facebook.com/100003449003608/posts/2807342826057323/

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri. 

- Advertisement -