Aids Haraki

- Advertisement -

BUKU Ihzaru al-Aids al-Haraki yang bermaksud Berwaspadalah Dengan Penyakit Aids Haraki adalah kritikan tajam Ustaz Fathi Yakan terhadap kepincangan yang berlaku dalam gerakan Islam. Ia adalah hasil pemerhatian dan pengalaman beliau sendiri yang bergelumang penuh dalam dunia dakwah dan politik.

Aids merupakan penyakit yang diperolehi dari cara hidup yang suka bersedap-sedapan. Lalu menyebabkan penghidapnya hilang daya tahan dan akhirnya mati sendiri secara perlahan-lahan. Ustaz Fathi Yakan memilih istilah penyakit yang mereputkan itu sebagai bandingan bagi masalah jati diri yang dialami oleh sesebuah gerakan Islam.

- Advertisement -

Jati diri

Masalah yang paling awal dinyatakan oleh Ustaz Fathi Yakan adalah, kondisi jati diri sesebuah gerakan Islam yang tidak cukup kukuh. Ia tidak didirikan di atas asas pemikiran dan prinsip yang konkrit serta hala tuju yang jelas.

Sebaliknya ia banyak dibentuk dari sikap fanatik terhadap ketokohan tertentu, atau kepentingan material yang kelak menjadi perebutan antara satu sama lain. Dari gejala tersebut menyebabkan asas kebersamaan dalam sesebuah gerakan menjadi sangat rapuh.

Mementingkan kuantiti lebih dari kualiti

Barangkali terkesan dengan corak sistem demokrasi yang menuntut bilangan angka pengundi, gerakan Islam semakin lama semakin lupa soal kualiti yang perlu dibentuk. Sedangkan jika difikirkan secara mendalam, dengan hanya memiliki ahli yang ramai tetapi tidak mampu menunjukkan contoh yang baik kepada masyarakat, serta tidak berupaya menjadi juru bicara yang berkesan, menyebabkan angka yang ramai itu hakikatnya tetap belum cukup signifikan.

Maka sebenarnya nas-nas yang menekankan soal kualiti itu tetap relevan, walaupun dalam konteks persaingan demokrasi. Dalam persoalan ini, Ustaz Fathi Yakan mengingatkan akan Sirah para Sahabat yang merasa terlebih yakin dengan ramainya bilangan tentera Islam.

Apabila merasa ramai, menyebabkan terbit rasa angkuh dan keluarlah cakap-cakap besar yang sekali gus merapuhkan nilai kebergantungan dengan Allah. Dalam kondisi ketika gerakan Islam memiliki ahli yang terlalu ramai tetapi tidak diterapkan kesedaran yang kritis, menyebabkan kelak pengaruh yang besar itu boleh dipergunakan oleh pihak lain. Hal seumpama ini telah berlaku di negara-negara Arab.

Tergadai oleh pihak luar

Sikap sambil lewa mendedahkan diri menerima tawaran dari pihak luar adalah kesilapan yang banyak menghancurkan kredibiliti sesebuah gerakan Islam. Tawaran seperti peluang posisi politik, suapan kewangan atau jaminan perlindungan akan mengakibatkan sesebuah gerakan Islam itu mampu dikawal oleh pihak luar yang menajanya. 

Implikasi dari gejala suka mengambil kesenangan bersifat jangka masa pendek itu, gerakan Islam akan hilang nilai kemandiriannya, lantas berada di bawah pengaruh pihak asing. Ustaz Fathi Yakan mengingatkan mentaliti ‘orang bagi kita ambil’ ini sebagai faktor bagaimana gerakan Islam akhirnya secara tanpa sedar, menjadi proksi bagi pihak yang telah lama membiayai segelintir mereka secara lunak.

Beliau turut mengingatkan berapa banyak gerakan Islam yang hilang nilai kerana berjaya dibeli dengan wang kertas dan bantuan persenjataan. Begitu juga beliau mengingatkan ancaman dari badan-badan perisikan yang sentiasa cuba merosakkan gerakan Islam. 

Mereka akan menganalisa titik-titik kelemahan yang ada pada sesebuah gerakan Islam. Kemudian mereka menawarkan dukungan dan akhirnya mereka akan hancurkan hingga lebur.

Dari peluang-peluang yang disebutkan di atas, sudah pasti akan memunculkan krisis dan konflik atas faktor perebutan kepentingan. Pada masa sama, kelompok yang cuba mencegah perangkap tersebut akan dimangsakan. Ketika itu yang berlegar dalam cakap-cakap sesama ahli gerakan Islam, adalah sekitar topik-topik kepentingan politik semata-mata.

Ancaman perisikan luar

Seringkali campur tangan pihak luar itulah yang menjadi punca lahirnya perpecahan. Kadang-kadang jika dinilai kembali, punca perpecahan pun seakan tidak jelas. Ia sesuai dengan sifatnya sebagai propaganda adu domba yang datang dari perencanaan pihak luar.

Bahkan mereka boleh sahaja mencipta kelompok-kelompok tertentu di dalam sesebuah gerakan Islam. Sama ada penggeraknya dalam kalangan mereka sendiri, atau ahli-ahli gerakan Islam tanpa sedar didorong secara lunak hasil manipulasi emosi berdasarkan kajian psikologi mereka.

Malangnya kesedaran terhadap topik-topik seperti ini semakin dijauhkan dari wacana gerakan Islam. Malah jika ditimbulkan, akan dianggap sebagai paranoid. Secara logiknya, eskapisme seumpama ini tidak berlaku dengan sendirinya, melainkan ada pencatur yang mencorak kelalaian tersebut.

Penulis buku Soldier of Reason, Alex Abella menyatakan hasil dari kajian Rand Corporation terhadap corak kumpulan-kumpulan dan parti-parti politik, mereka merumuskan bahawa hakikatnya semua pihak hanyalah menginginkan keuntungan peribadi sahaja. Gagasan, ideologi dan slogan hanya sekadar bahan kempen untuk mendapatkan kepentingan peribadi masing-masing. Gejala sedemikian dilihat selari dengan kritikan Ustaz Fathi Yakan sendiri dalam bukunya, Apa Erti Saya Menganut Islam.

Disebabkan itu, badan-badan perisikan gemar memancing dana untuk menguasai sesebuah gerakan. William Blum dalam bukunya bertajuk Rogue State menceritakan bagaimana badan perisikan AS membiayai Islamis yang tidak terdedah dengan kesedaran berkenaan ancaman intelligent. Selepas mereka dibiayai dan dipergunakan, mereka pasti akan dihancurkan.

Hal yang sama telah ditunjukkan dalam sejarah peranan Ali Moertopo. Beliau terkenal dengan strategi ‘pancing dan jaring’, iaitu menawarkan pembiayaan dan posisi kepada kumpulan-kumpulan Islam. Setelah mangsanya diberi perasaan ‘menang’, ketika itulah rentapan yang menghancurkan berlaku.

Setakat tinjauan sejarah gerakan Islam moden, tidak pernah didapati sikap oportunis ‘orang bagi kita ambil’ ini menghasilkan kekuatan bersifat jangka masa panjang. Melainkan ia akan menatijahkan implikasi-implikasi yang buruk lagi mereputkan.

Gopoh ingin mendapatkan kuasa

Ustaz Fathi Yakan menyatakan bahawa sikap tergesa-gesa ingin mendapatkan kemenangan tanpa diimbangi dengan persediaan yang mencukupi, akan memberi kesan kepada kredibiliti sesebuah gerakan Islam. Dalam bahasa Hadis, disebut sebagai isti’jal.

Sebahagian dari gerakan Islam juga ditimpa bencana apabila terlibat dalam operasi-operasi subversif terhadap kerajaan, lalu menjadi alasan untuk ia diharamkan. Perkara seumpama ini banyak berlaku di negara-negara Arab.

Kegopohan-kegopohan seumpama ini, merosakkan reputasi gerakan Islam di mata umat dan rakyat. Mungkin jarang diperbahaskan apakah implikasi sekiranya gerakan Islam hanya menang meraih kuasa politik, tetapi umat tidak mempercayainya dan tidak mendukungnya atas dasar kefahaman yang tulen.

Tidak kritis melihat senario

Ustaz Fathi Yakan mengingatkan bahawa lemah atau tiadanya kesedaran politik yang hakiki menyebabkan sesebuah gerakan itu akan lemah daya rasionalnya. Kesedaran politik di sini bukan bermaksud sekadar mampu berbual ala-ala sembang kedai kopi seputar isu-isu politik sahaja.

Sebaliknya yang dimaksudkan adalah, tidak mampu menganalisa dan membuat jangkaan-jangkaan yang realistik di sebalik senario politik yang berlaku. Masalah ini semakin membarah jika amalan cuba berfikir, bertanya dan berdialog itu dipandang negatif dalam budaya gerakan Islam.

Barangkali tabiat ahli gerakan Islam yang lebih selesa hidup dalam kelompok sendiri, menyebabkan berlakunya kesan echo chamber terhadap paradigma mereka. Sekali gus menjauhkan mereka dengan realiti yang sebenar.

Refleksi

Dalam buku Aids Haraki, Ustaz Fathi Yakan merumuskan betapa gerakan Islam perlu secara jujur benar-benar serius dengan Islam. Mewarisi ilmu, hujah, sikap, kefahaman dan amalan, selari dengan orientasi perjuangan yang telah digariskan oleh Islam.

Sebenarnya sangat banyak tulisan dari tokoh gerakan Islam, yang mengkritik kelemahan bersifat dalaman yang dialami oleh gerakan-gerakan Islam itu sendiri. Sebahagian apa yang telah mereka alami, mungkin sedang dialami oleh gerakan-gerakan Islam yang lain pula. Muslim yang bijak adalah mereka yang sentiasa mengambil pengajaran.

USTAZ ABDUL MU’IZZ MUHAMMAD
18 Februari 2021 – HARAKAHDAILY 18/2/2021

- Advertisement -