Variant baharu bahaya?

PENULISAN ini berbentuk andaian dan bukannya sahih. Sesuatu andaian tidak boleh diambil kira sekiranya keluar daripada bukan pakar. Pakar dalam bidang akan membuat kenyataan yang melihat kepada jurnal-jurnal dan juga kajian-kajian yang berwasit. Bahkan artikel yang dirujuk oleh penulis itu tidak pun menerangkan apa yang dituliskan itu [1].

Berlaku variant baharu sama ada di UK (B117), Afrika (B1351) dan Brazil (P1 / E484K) bukan wujud akibat daripada pengambilan vaksin. Tetapi ia adalah satu mutasi dan evolusi virus yang boleh biasa berlaku. Sebagai makhluk, setiap virus akan beradaptasi mengikut suasana demografi sesuatu tempat. Bahkan dalam negara kita sendiri pun terdapat variant baharu yang cepat merebak seperti variant D614G yang terdapat di Kedah dan Sarawak. Ianya terbit bukan akibat dari pemberian vaksin pun.

Pandangan pakar dari John Hopkins mendapati variant baharu itu cepat merebak sehingga 30 peratus -70 peratus berbanding dengan virus SARS-Cov-2 (virus COVID-19). Tetapi virulennya (kebolehan mengganas) adalah tidak lebih dari virus SARS-Cov-2 yang sedia ada. Pun begitu ianya belum diketahui secara jelas [2]. Walau impak jangkitan adalah besar sehingga mencecah 60 peratus di UK, tetapi jumlah keterukan pesakit adalah sama dengan jangkitan COVID-19 biasa. 

Advertisement

Adakah variant baru ini dapat dicegah melalui vaksin? Kajian awal dan terbaharu daripada Pfizer dan juga beberapa syarikat pengeluar vaksin lain seperti Novavax dan Jensen mendapati bahawa vaksin mereka berkesan menghalang variant baharu COVID-19. Walaupun ianya tidak sehebat efikasi (keberkesanan) terhadap virus COVID-19 biasa, tetapi yang menunjukkan satu respons yang positif. Begitu juga dengan vaksin dari pengeluar Oxford-AstraZeneca memberikan kesan positif terhadap variant B117 tetapi kurang berkesan terhadap variant baharu Afrika [3]. Kajian awal dari vaksin Moderna pula mendapati bahawa vaksin mereka memberikan afikasi yang tinggi untuk mencegah variant baharu Afrika B1351. Tetapi kajian masih terlalu awal untuk dijangkakan.

Penulis mencadangkan supaya kita menggunakan serum pesakit yang telah dijangkiti untuk dimasukkan kepada individu yang masih belum dijangkiti. Ini adalah satu kaedah tradisional yang guna digunakan pada awal penciptaan vaksin. Penciptaan dan penemuan vaksin Cacar pada kurun ke 15 dahulu memang menggunakan kaedah itu. Iaitu mengambil darah orang yang dijangkiti dan ditanam (korek bahu – orang-orang tua lahir sebelum dari 1980 merasa pengalaman itu) kepada orang yang belum dijangkiti. Kenapa kita ingin kembali kepada zaman tradisional seperti itu sedangkan sekarang ini kita sudah pun mempunyai kaedah teknologi terbaru? Kecanggihan kaedah baharu sudah pun diterokai dan telah menemui banyak kejayaan seperti pembuatan vaksin Measles, Difteria, Pertusis dan lain-lain. 

Teknik tradisional sudah pun tidak digunakan kerana mempunyai banyak kesan sampingan yang teruk berlaku. Contohnya semasa awal penciptaan vaksin BCG dahulu semua subjek kajian mati setelah pemberian vaksin BCG. Perkembangan perubatan mengemaskini dan memperbaiki kaedah pembuatannya, akhir sekali ianya telah berjaya dicipta dengan kecanggihan teknologi yang ada sekarang ini. Sekarang, tiada pun kes yang mati akibat daripada pemberian vaksin BCG. Hampir setengah juta dos vaksin BCG diberikan kepada anak-anak kita setiap tahun, semuanya sihat dan tidak dijangkiti Tuberkulosis.

Kita doakan negara kita dapat menyelesaikan segala kemelut wabak COVID-19 ini dan kita kembali kepada normal yang biasa. Insya-Allah dengan wujudnya vaksin COVID-19 ini memberi satu sinar baharu sebagai salah satu dari ikhtiar yang dibenarkan di dalam syariat Islam.

DR SUHAZELI ABDULLAH
Pakar Perubatan Keluarga
Sarjana (Master of Medicine) dalam pengkhususan Perubatan Keluarga Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) – HARAKAHDAILY 17/2/2021

Rujukan:

[1] https://www.sciencemag.org/news/2021/02/south-africa-suspends-use-astrazenecas-covid-19-vaccine-after-it-fails-clearly-stop?fbclid=IwAR3SXRs1nZbQE2Ceo7EhazBF3rPLOy_5LkpwKU1zMEZWlypCUIf33hiPlQ4

[2] https://www.hopkinsmedicine.org/health/conditions-and-diseases/coronavirus/a-new-strain-of-coronavirus-what-you-should-know

[3] Alexander Muik, Ann-Kathrin Wallisch, et. al. Neutralization of SARS-CoV-2 lineage B.1.1.7 pseudovirus by BNT162b2 vaccine-elicited human sera. Biorxiv J. Jan 19, 2021. Access online: doi: https://doi.org/10.1101/2021.01.18.426984

[4] https://www.bbc.com/news/health-55659820

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.