Tiada kolam dalam politik, hanya satu akidah

- Advertisement -

ALOR SETAR: PAS sentiasa ke hadapan dan membawa jalan perpaduan walaupun dianggap kononnya ‘bermain’ dalam dua kolam.

Ketua Pengarah Pilihan raya PAS Pusat, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, pendirian PAS tetap konsisten memperkukuh Muafakat Nasional (MN) dan mempertahankan Perikatan Nasional (PN).

Katanya, matlamat PAS membawa perpaduan melalui satu aqidah dan pegangan yang sama.

“Tidak ada kolam-kolam dalam politik, yang ada adalah satu aqidah. Politik kolam orang sudah lama tinggal.

- Advertisement -

“Tetapi andainya matlamat yang dibawa jelas dan untuk kebaikan umat Islam dan Melayu, PAS sedia berenang di 10 kolam sekalipun,” kata beliau pada sidang media di Wisma Darul Aman, hari ini.

Baru-baru ini, Pengerusi Umno Perak, Dato’ Saarani Mohamad membidas PAS yang dianggap sebagai sebuah parti yang rugi apabila ‘main di dua kolam’.

Sanusi yang juga Menteri Besar Kedah berkata, jangan pula kerana sudah merasa selesa, maka berhasrat untuk berpatah balik ke tempat asal.

“Boleh kaji semula, kenapa boleh berada di tahap ini sekarang. Adakah sudah merasa selesa dan nak ajak orang lain balik ke tempat asal.

“Tak patutlah begitu, sebaiknya terus bergerak ke hadapan dan hadapi cabaran bukannya kembali semula ke kampung seperti dahulu. Tempat lama sudah ditinggalkan dan sudah pun jadi hutan belukar,” katanya.

Beliau juga berharap pihak yang cuba menimbulkan ketegangan berkenaan pembahagian kerusi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Kedah diminta kembali kepada matlamat asal penubuhan MN dan PN.

“Terokailah dimensi baharu yang boleh membawa faedah kepada semua orang. Dua atau 10 kolam bukan persoalannya yang penting untuk mengelak perpecahan dalam kalangan orang Melayu serta mengelak wujud banyak parti yang mengecilkan kelompok kaum,” ujarnya.

Di Kedah jawatankuasa PN peringkat negeri dipengerusikan Sanusi sendiri, timbalannya Suhaimi Abdullah daripada Bersatu.

Manakala Ketua Pemuda PN diamanahkan kepada Ustaz Nurul Amin Hamid dan Ketua Wanita pula Dato’ Ustazah Siti Ashah Ghazali. – HARAKAHDAILY 17/2/2021

- Advertisement -