Sugarbook: Kerajaan ambil inisiatif dekati siswi terjebak

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Inisiatif untuk mendekati mahasiswi yang terjebak dengan aktiviti menerusi aplikasi Sugarbook juga akan diusahakan oleh kerajaan, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dato’ Ahmad Marzuk Shaary.

Beliau berkata, sebelum ini pihak kerajaan menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah menyekat laman sesawang Sugarbook.

Menurutnya, sebagai seorang bapa, beliau berkongsi kerisauan dalam isu aplikasi Sugarbook.

“Di pihak ibu bapa pula, jangan lupa tanggungjawab kita untuk mendidik anak-anak agar menjadi hamba yang bertakwa dan mampu memelihara maruah serta kesucian diri,” ujarnya dalam satu hantaran di laman Facebooknya, semalam.

- Advertisement -

Terdahulu, beliau menyatakan tindakan tegas akan diambil kepada mana-mana yang pihak yang terlibat dengan kegiatan tersebut.

“Kegiatan itu sepatutnya tidak berlaku dalam kalangan pelajar universiti. Buat masa sekarang kita akan beri kes ini kepada pihak berwajib untuk dilakukan siasatan,” katanya.

Sebelum ini, beberapa portal berita melaporkan bilangan pelajar universiti di Malaysia yang menjadi sugar baby melalui aplikasi Sugarbook lebih 14,000 orang.

Difahamkan, bilangan itu semakin meningkat berikutan kesukaran hidup pelajar universiti sejak kemunculan pandemik Covid-19.

Januari lalu, dilaporkan bahawa bilangan pelajar universiti di Malaysia yang menjadi sugar baby meningkat sebanyak 40 peratus.

“Kadang-kadang, boleh jadi termenung memikirkan apakah anak kita bersedia untuk menghadapi segala ujian dan cabaran ketika berjauhan dengan keluarga,” kata Ahmad Marzuk.

Tambahnya, pasakkan ke dalam hati mereka bahawa Allah Ar-Razaq lah yang memberi rezeki, agar mereka tidak mudah menghinakan diri dengan mengharap kepada makhluk walaupun ketika keadaan mendesak.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pengkalan Chepa menasihatkan ibu bapa supaya mengajar kepada anak-anak doa memohon agar Allah memberikan kebaikan-kebaikan yang diredhai-Nya.

Doa yang diriwayatkan Muslim itu bermaksud: Ya Allah, aku memohon kepada petunjuk, ketakwaan, kehormatan diri dan kecukupan. – HARAKAHDAILY 17/2/2021

- Advertisement -