Rundingan pemilikan saham KDA FC ditamat

- Advertisement -

ALOR SETAR: Proses rundingan pemilikan saham 80 peratus Kedah Darul Aman Football Club (KDA FC) ditamatkan oleh Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA).

Presidennya, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, keputusan itu berikutan KFA dan kerajaan negeri tidak dapat memenuhi permintaan syarikat terbabit.

Katanya, permintaan mereka terlalu besar, antaranya memohon tanah sedangkan tanah yang dimiliki kerajaaan negeri kebanyakan berstatus tanah pertanian, industri dan lain-lain.

- Advertisement -

“Saya tidak dapat memberi pertimbangan akan hal itu,” katanya pada sidang media di Wisma Darul Aman, hari ini.

Sebelum ini, Go Auto Group dan Flumen Holding Sdn Bhd bersetuju pada dasar memiliki saham majoriti dalam KDA FC.

Malah syarikat terbabit juga mahu memiliki dua stadium di Kedah iaitu Stadium Darul Aman dan Stadium Suka Menanti.

“Stadium itu di bawah pemilikan Perbadanan Stadium dan mempunyai enakmen dan akta tertentu. Tidak boleh serah kepada orang lain begitu sahaja,” kata Sanusi.

Berikutan itu menurutnya pasukan Bola Sepak Darul Aman akan dikendalikan KDA FC.

“Oleh itu atas keputusan tidak meneruskan rundingan bersama syarikat itu dimuktamadkan kerana ia dilihat lebih membawa kerugian daripada faedah kepada rakyat Kedah,” sambungnya.

Bagaimananya katanya KFA masih membuka tawaran sekiranya ada syarikat lain yang berminat untuk memiliki saham berkenaan.

Sementara itu dalam perkembangan lain, beliau tidak menaruh harapan kepada  pelaburan RM1.5 bilion yang dijanjikan syarikat terbabit melaksanakan pembangunan di Kedah.

Katanya, perkara itu terserah kepada mereka kerana pelaburan itu dijanjikan apabila permintaan mereka dimuktamadkan. – HARAKAHDAILY 17/2/2021

- Advertisement -