Penggunaan vaksin Covid-19 selari nas Al-Quran, Al-Hadis

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pertubuhan Pendukung dan Pencinta Ulama (Geng Ustaz) menyifatkan keputusan kerajaan berhubung pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan adalah selari dengan nas Al-Quran, Al-Hadis dan kaedah Fiqh.

- Advertisement -

Presidennya, Ustaz Kamalulhysham Mohd Suhut ketika dihubungi HarakahDaily hari ini, berkata, penggunaan vaksin tersebut adalah bagi menjaga kemaslahatan rakyat, bahkan ia telah melalui proses kajian daripada pakar-pakar perubatan yang arif akan ‘nature’ penyakit tersebut.

Jelasnya, keputusan kerajaan ini selari dengan dalil seperti firman Allah SWT di dalam Surah Al-Baqarah ayat 195.

“Janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan.

“Manakala, Rasulullah turut bersabda di dalam hadisnya yang diriwayatkan Abu Sa’id al-Khudri RA, ‘Tidak boleh melakukan sesuatu yang memudaratkan dan tidak boleh memberikan mudarat kepada orang lain’,” ujarnya.

Kamalulhysham turut berpandangan penggunaan vaksin ini sesuai dengan kaedah Fiqh yang menjelaskan kemudaratan mestilah dihilangkan dan urus tadbir pemimpin ke atas rakyat adalah berlandaskan kepada maslahah.

Katanya, pihaknya mendokong penuh tindakan kerajaan dalam membendung Covid-19 berhubung pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

Sebelum ini, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (PMWP) bersetuju mengguna pakai resolusi Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) pada 3 Dis lepas yang mengambil ketetapan bahawa hukum penggunaan vaksin Covid-19 adalah harus dan ia wajib diambil golongan yang ditetapkan kerajaan. – HARAKAHDAILY 17/2/2021

- Advertisement -