PAS WP bantah pembukaan industri perjudian

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: PAS Wilayah Persekutuan membantah pembukaan sektor industri perjudian seperti yang digembar-gemburkan di media sosial semalam.

Pesuruhjayanya, Ustaz Azhar Yahya berkata sukar untuk difahami mengapa dalam tempoh yang kritikal ini kerajaan boleh membenarkan kasino dan syarikat perjudian seperti Magnum 4D dapat beroperasi semula.

Katanya, pembukaan semula kasino walaupun terhad kepada ahli kumpulannya sahaja jelas tidak memberikan apa-apa manfaat kepada negara.

- Advertisement -

Bahkan katanya, implikasi perjudian tidak kurang lebih sama dengan implikasi daripada arak yang membawa kepada kecelakaan sosial dalam masyarakat di negara ini.

“Pada satu tangan, kita berusaha memperbanyakkan peluang pekerjaan bagi menggalakkan rakyat di negara ini berusaha.

“Namun, malangnya satu tangan yang lain pula seolah-olah membiarkan rakyat menyerahkan nasib dengan aktiviti perjudian,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Azhar turut mempersoalkan apakah prosedur operasi standard (SOP) rentas negeri dan daerah juga akan dilonggarkan semata-mata untuk memenuhi kehendak pihak-pihak berkepentingan Itu.

Menurutnya, perkara itu sewajarnya tidak berlaku dalam suasana negara berhadapan dengan pandemik Covid-19.

Dalam pada itu, Azhar berkata pihaknya akan menghantar surat bantahan bagi membantah pembukaan semula sektor industri perjudian itu.

“PAS Wilayah Persekutuan akan menghantar nota bantahan ini bagi menggambarkan ketegasan PAS Wilayah Persekutuan terhadap isu yang berlaku, insya-Allah.

“Saya juga mengharapkan agar kerajaan dapat mempertimbangkan semula kebenaran tersebut,” ujarnya.

Terdahulu, beberapa syarikat pengendali kasino, Resort World Genting dan syarikat nombor ramalan mengumumkan pembukaan semula operasi premis mereka melalui pengumuman di media sosial dan sesawang masing-masing. – HARAKAHDAILY 17/2/2021

- Advertisement -