Mangsa tanah runtuh diberi bantuan segera

- Advertisement -

PASIR MAS: Sebanyak empat buah rumah penduduk musnah dalam kejadian tanah runtuh tidak jauh dari Dataran Air Moleh, di sini pagi tadi.

Manakala 15 keluarga yang tinggal di Kampung Pohon Chelagi diarah berpindah segera selepas tebing Sungai Kelantan runtuh.

Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan, Pelaburan dan Pembangunan Usahawan negeri, Dato’ Hanifa Ahmad berkata, kawasan yang terjejas dianggarkan sepanjang 200 meter termasuk 100 meter di kawasan berlaku runtuhan.

Katanya, bantuan segera di bawah Exco Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga turut diberi kepada mangsa yang terlibat dalam kejadian berkenaan terutama penduduk yang terjejas teruk dan musnah.

- Advertisement -

“Kita akan beri sumbangan pertama dahulu kepada empat keluarga penduduk yang menjadi mangsa tanah runtuh sebanyak RM1,000 dan bantuan lain juga akan diberikan nanti kepada semua yang terlibat.

“Kita faham apa yang menimpa penduduk dan sebarang bentuk sumbangan akan segera dibincang bersama pihak terlibat,” katanya ketika ditemui di Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Pasir, hari ini.

Pada kejadian yang diviral pagi tadi ada rakaman video menunjukkan rumah runtuh ke dalam sungai bersama runtuhan tebing.

Hanifa yang juga Adun Pengkalan Pasir berkata, kerajaan mengarahkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk membuat laporan segera berkaitan kejadian itu.

“Kita akan menggunakan dewan badminton di sini untuk dijadikan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang boleh memuatkan 80 orang.

“Sekiranya lebih ramai penduduk yang diminta berpindah, kita akan membuka satu lagi dewan di sekolah untuk penempatan sementara mereka yang terlibat,” katanya.

Menurutnya juga siasatan awal mendapati, runtuhan itu berlaku disebabkan terjahan air Sungai Kelantan ke tebing berkenaan.

Oleh itu, kata beliau tindakan segera akan diambil kerana sekiranya runtuhan tebing itu semakin teruk, ia akan menjejaskan sebahagian besar bandar Pasir Mas.

Sementara itu, seorang penduduk Nur Ain Ramli meluah rasa sedih di atas kejadian yang menimpa keluarganya akibat kejadian tersebut.

Kata beliau, rumah dan sebuah kereta miliknya turut terjatuh bersama hakisan sungai berkenaan.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohamad Roy Suhaimi Sarif berkata, pihaknya menerima maklumat berlaku rekahan sejak dua hari lalu sebelum rekahan terbabit semakin ketara mulai malam tadi.

“Susulan itu kita sudah mengambil langkah awal dengan menutup jalan di kawasan terbabit bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini berlaku.

“Runtuhan mula berlaku mulai 2.30 pagi hingga 6.30 pagi dan sehingga kini masih berlaku pergerakan tanah menyebabkan semua penduduk diminta berpindah,” katanya. – HARAKAHDAILY 17/2/2021

- Advertisement -