Manfaat media didik golongan anti vaksin

Foto hiasan.
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Muslim Care Malaysia Society (MCM) mencadangkan pihak kerajaan agar menyediakan pelbagai platform bagi mendidik rakyat agar celik terhadap kepentingan pengambilan vaksin Covid-19.

- Advertisement -

Presidennya, Zulkifli Wahijan berkata, walaupun peratusan orang awam yang mampu menerima baik suntikan vaksin itu agak tinggi, namun bagi sesetengah golongan yang beranggapan ianya tidak perlu dan memudaratkan perlu diberi didikan secara berhemah dan berkesan.

Ujarnya, ramai pihak yang menolak untuk menerima suntikan vaksin itu berikutan kurangnya pendedahan terhadap pengetahuan vaksin itu dan sekadar mengikut hawa nafsu semata-mata.

Beliau memahami kegusaran sesetengah pihak yang khuatir akan kesan setelah suntikan, namun perlu diingatkan impak yang lebih besar akan terjadi kepada masyarakat sekiranya mereka enggan menerima suntikan berkenaan.

“Bagi saya, benda-benda yang baharu memang sebegitu, ada yang boleh menerima ada yang tidak, tetapi sebagai orang Islam, kita dah tahu pandemik ini mendatangkan mudarat, kemudian adanya vaksin, kita ambillah untuk menyelamatkan nyawa.

“Bukan sahaja nyawa diri sendiri, bahkan mampu melindungi orang di sekeliling kita juga, malah vaksin ini adalah saranan pakar-pakar kesihatan yang sangat arif akan penyakit ini,” ujarnya kepada HarakahDaily, hari ini.

Sebelum ini, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (PMWP) bersetuju mengguna pakai resolusi Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) pada 3 Dis tahun lalu yang mengambil ketetapan bahawa hukum penggunaan vaksin Covid-19 adalah harus dan ia wajib diambil golongan yang ditetapkan kerajaan.

Justeru itu, bagi membuka mata orang ramai akan kepentingan pengambil vaksin Covid-19 tersebut, Zulkifli mencadangkan agar pendidikan diberikan secara langsung melalui platform media massa dan elektronik.

“Kerajaan mungkin boleh menggunakan platform khutbah Jumaat sebagai langkah mudah bagi memberi maklumat kepada orang awam tentang kebaikan dan kepentingan vaksin berkenaan.

“Penggunaan teknologi media massa dan elektronik boleh dimanfaatkan semaksimanya melalui akhbar-akhbar cetak, selain daripada capaian berita-berita utama dan terkini yang mampu memberikan informasi secara langsung.

“Malah, hiburan juga boleh dijadikan platform bagi mendidik golongan anak muda dan belia melalui lagu-lagu nasyid yang memberi pengetahuan akan peri pentingnya pengambilan vaksin Covid-19,” ujarnya

Sebelum ini, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah melancarkan Buku Panduan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan pada Selasa, mengandungi pelbagai maklumat berkaitan program vaksinasi terbesar yang pernah dilaksanakan negara berikutan pandemik Covid-19.

Kandungan buku berkenaan antara lain mengandungi jenis-jenis vaksin yang digunakan kerajaan, fasiliti disediakan untuk menyimpan vaksin di seluruh negara, pengambilan vaksin dari sudut pandangan agama serta panduan imunisasi.

Menerusi infografik yang dimuat naik oleh Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) pada Isnin, pelan imunisasi itu merangkumi penerangan mengenai empat komponen utama iaitu bekalan vaksin, kumpulan sasaran fasa pemberian vaksin, lokasi dan kaedah pelaksanaan program serta tenaga kerja pelaksanaan program imunisasi berkenaan.

Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan akan dilaksanakan secara tiga fasa mulai hujung bulan ini, dengan menyasarkan sebanyak 80 peratus populasi negara ini atau 26.5 juta individu menerima vaksin itu yang akan diberikan secara percuma.

Proses pendaftaran sebagai penerima vaksin Covid-19 bagi orang ramai dijangka dibuka bermula Mac ini dan dilaksanakan dengan konsep sukarela. – HARAKAHDAILY 17/2/2021

- Advertisement -