Gagal pengaruhi MP tempatan, pembangkang lobi MP asing

- Advertisement -

KOTA BHARU: Mungkinkah selepas gagal mempengaruhi ahli-ahli parlimen (MP) di negara ini bagi menumbang kerajaan Perikatan Nasional (PN), pembangkang beralih pula mencari sokongan ahli parlimen negara luar?

Sehingga sekarang dua kali Ketua Pembangkang mendakwa mendapat sokongan majoriti, namun ia tidak menjadi kenyataan.

Malah Dato’ Seri Anwar Ibrahim juga mengadap Yang di-Pertuan Agong mempersembahkan perkara itu, namuun dikatakan tanpa senarai nama ahli parlimen menyokongnya.

- Advertisement -

Adun Chempaka, Ahmad Fathan Mahmood berkata, pembangkang masih lagi mahu bermain dengan angka bagi menggambarkan kekuatan mereka.

Katanya, selepas gagal mendapat sokongan ahli parlimen tempatan mereka beralih pula dengan melobi ahli parlimen dari luar negara.

“Sibuk apa dengan ahli parlimen negara asing. Kena bilang juga ke… MP negara asing untuk cukup 112 ahli parlimen Malaysia bagi menyokong pembangkang.

“Mungkin ada pemimpin yang teruja sangat dengan nombor sehingga terpaksa menyenaraikan ahli parlimen dari negara ASEAN,” katanya di sini.

Semalam, sebuah portal berita melaporkan sejumlah 90 ahli Parlimen dari tujuh negara ASEAN menggesa Yang di-Pertuan Agong dan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin membenarkan Parlimen bersidang tanpa sekatan secepat mungkin.

Menurut kenyataan itu ditandatangani ahli Parlimen daripada Thailand, Indonesia, Timor-Leste, Kemboja, Filipina dan Singapura.

Namun difahamkan ada dalam kalangan senarai tersebut bukan lagi ahli parlimen, manakala Timor-Leste bukan kerabat ASEAN.

Pada 12 Januari lepas, Yang di-Pertuan Agong memperkenankan tempoh pelaksanaan darurat hingga 1 Ogos 2021 atau sehingga suatu tarikh yang lebih awal jika kes positif pandemik Covid-19 harian dapat dikawal dan diturunkan dengan berkesan.

Darurat diisytiharkan kerana penularan wabak Covid-19 di Malaysia membimbangkan menyebabkan keselamatan, sektor ekonomi dan ketenteraman awam terancam sekiranya tidak dibendung.

Kerajaan menjelaskan penggunaan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 324) tidak memadai kerana jangkitan penyakit tidak lagi terhad kepada lokaliti tertentu sahaja.

Pensyarah kanan UiTM Raub, Dr Che Hamdan Mohd Razali berkata, membawa elemen luar semata-mata untuk memberi tekanan kepada kerajaan adalah tidak wajar.

“Walaupun kita tak setuju dengan Proklamasi Darurat yang membawa kepada fungsi parlimen tergantung namun dengan melibatkan campur tangan pihak asing dalam negara ini amat tidak wajar.

“Lagi pun wakil-wakil negara berkenaan juga mempunyai krisis politik dan ekonomi. Ia menjadi masalah serantau lantaran pandemik yang berlaku sekarang,” katanya.

Menurutnya juga tidak wajar hanya memberi fokus tekanan kepada Kerajaan Malaysia ketika mana-mana negara sedang berjuang untuk kembali pulih seperti sedia kala. – HARAKAHDAILY 17/2/2021

- Advertisement -