Dakwah tidak patut terpengaruh dan hanyut

dakwah
- Advertisement -

BOLEH bayangkan apa itu dakwah yang terikut-ikut dengan trend? Iaitu dakwah dengan menawarkan permainan seperti PUBG, PES dan sebagainya atas alasan anak muda ramai yang minat. Ada juga yang kempen Tik Tok kerana ramai anak muda di situ.

Kenapa kita mencari-cari jalan itu? Alasannya ramai anak muda di situ. Masing-masing mengejar arus semasa. Di mana tumpuan anak muda, di situlah medan dakwah yang paling utama yang perlu difokuskan, kata mereka.

- Advertisement -

Kita perlu sedar, gerakan dakwah itu perlu bersifat tersendiri. Tidak terpengaruh dengan arus semasa yang dibayangi dengan trending. Kita nak bawa umat untuk kenal Islam, bukannya nak heret mereka terus hanyut dalam dunia mereka.

Tidak perlu rasa terjumud atau rasa ketinggalan sekiranya tidak mengikut trend. Kadangkala mungkin terpaksa menongkah arus untuk mempertahankan kebenaran agar tidak hanyut sekali dalam dunia trending.

Kadang-kadang, perasan tak ada anak-anak muda yang inginkan Islam? Mereka selalu datang solat berjamaah. Ada yang rajin dengar kuliah. Hati mereka sudah bersedia untuk menerima Islam. Mereka tercari-cari roh Islam walaupun bilangan mereka tidaklah ramai.

Tetapi kita tak terfikir untuk buat kajian dan pemerhatian terhadap mereka. Kita kadangkala tak terfikir untuk menyapa mereka, apatah lagi berkenalan dan bersahabat. Lantas ada dari kalangan mereka memilih jalan sufi yang menolak politik sebagai wadah.

Di dalam kitab الطريق إلى القلوب  karangan Dr Abbas Hassan As Sisi mengumpamakan sasaran dakwah itu umpama buah-buahan di pohon. Ada yang rendang yang boleh dipetik dengan mudah, ada yang di pertengahan pohon, dan ada yang berada di hujung pucuk.

Beliau menyatakan bahawa buah-buahan yang boleh dipetik dengan mudah itu umpama mereka yang inginkan Islam, yang telahpun bersedia menerima pedoman-pedoman agama. Golongan ini wajar didahulukan dakwah itu untuk disampaikan.

MUHAMMAD MUJAHID IR MOHAMMAD FADZIL – HARAKAHDAILY 17/2/2021

- Advertisement -