PH ‘pekak telinga’ dengar keluhan rakyat

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kerajaan Perikatan Nasional (PN) dianggap lebih mendengar luahan hati rakyat berbanding kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang hanya ‘memekakkan’ telinga.

Lebih-lebih lagi isu berkaitan moral dan agama, pemimpin PH cuba mengunci rapat isu tersebut.

Timbalan Ketua Biro Pembangunan Luar Bandar Armada Bersatu Kelantan, Muhammad Afiqq Noh berkata, zaman PH jangan harap rakyat dapat melihat kerajaan bertindak terhadap rungutan dan suara rakyat.

- Advertisement -

“Saya mengambil contoh mudah PH berjanji nak hapuskan tol ketika kempen pilihan raya, tetapi tidak melakukan sedemikian walaupun mendapat kencaman dan kritikan hebat daripada rakyat.

“Kerajaan PH tidak mengendahkan suara rakyat sebaliknya meneruskan agenda pemberhentian penjawat awam dalam kalangan orang Melayu secara besar-besaran,” ujarnya di sini.

Katanya era PH juga berlaku pemotongan bantuan sehingga ada pemimpin PH melabelkan ‘rakyat malas’ dan ‘rakyat perlu ikat perut’ kerana hanya bergantung harap bantuan kerajaan.

Menurut Muhammad Afiqq apa yang berlaku itu jelas membuktikan PH bertindak tanpa mengambil kira soal keperluan dan kesusahan rakyat.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya, Shamsul Iskandar Md Akin yang menggambarkan hanya selepas kerajaan menerima kritikan, baru SOP tertentu diubah.

“Selepas rakyat menyuarakan kritikal sehingga viral di media sosial, barulah kerajaan terhengeh-hengeh mengubah SOP,” katanya baru baru ini.

Afiqq juga berkata, SOP bukan sesuatu perkara dasar yang tidak boleh diubah mengikut keperluan semasa rakyat. – HARAKAHDAILY 16/2/2021

- Advertisement -